Iklan

Bajet besar di Terengganu, tetapi kanak-kanak terbantut, kata Amanah

Yasmin RamlanMelati A. Jalil7 years ago8th Mar 2018Berita
Raja bahrin 091117 tmiseth 02
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu) berkata, berdasarkan laporan Unicef yang diterbitkan minggu lalu, Terengganu merupakan yang kedua tertinggi selepas Kelantan (34%). – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.
Iklan

PEMIMPIN Amanah hari ini menuntut kerajaan Terengganu menerangkan kenapa 26% kanak-kanak bawah lima tahun di negeri itu terbantut pembesaran mereka, walaupun kerajaan negeri telah memperuntukkan hampir RM2 bilion dalam Bajet 2018.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu) berkata, berdasarkan laporan Unicef yang diterbitkan minggu lalu, Terengganu merupakan yang kedua tertinggi selepas Kelantan (34%).

“Ini adalah amat mengejutkan kerana Terengganu mempunyai bajet tahunan sekitar RM2 bilion setahun untuk rakyat seramai hanya 1 juta orang berbanding dengan Selangor yang mempunyai bajet tahunan sekitar RM1.6 bilion dengan rakyat seramai 5 juta orang.

“Ke manakah perginya kekayaan negeri Terengganu Kalau rakyatnya tidak mampu mendapat makanan yang cukup dan berzat? Ini menunjukkan pengurusan kewangan yang amat tidak bertanggungjawab dan lemah dari kerajaan negeri Terengganu,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ini menunjukkan yang pengurusan kewangan negeri tidak dijaga secara efektif, katanya.

“Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur,” yang diterbitkan pada 26 Februari lalu menunjukkan 26% kanak-kanak bawah lima tahun di Terangganu dan Pahang (26%) terbantut pembesaran mereka, diikuti Putrajaya, Perak dan Sabah serta Labuan (24%).

Sarawak sebanyak 24%, diikuti Perlis (21%), Pulau Pinang (20%), Negeri Sembilan (19%), Kedah (18%), Melaka (14%), Johor (12%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11%).

Menurut kajian itu, keadaan kanak-kanak di Kelantan itu lebih teruk dari negara miskin seperti Swaziland dan Zimbabwe.

“Di daerah paling kaya di Malaysia, iaitu Putrajaya, hampir satu dalam empat kanak-kanak terbantut dan ini adalah lebih tinggi daripada purata kebangsaan.

“Kanak-kanak di negeri paling miskin pula, Kelantan lebih teruk daripada kanak- kanak di negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe dan Swaziland,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan berlakunya peningkatan kebantutan dalam sedekad, daripada 17% pada 2006 kepada 20.7% pada 2016. – 8 Mac, 2018.

Iklan
Iklan