Iklan

Sudah tiba masanya KL mempunyai sumber air sendiri

Yasmin Ramlan7 years ago8th Mar 2018Berita
Kuala lumpur petronas twin tower kl tower city 01
Ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari menyokong cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tengku Adnan Tengku Mansor, memandangkan gangguan bekalan air yang dihadapi di daerah itu dijangka akan berlarutan lebih lama daripada tempoh yang dijangka. – Gambar The Malaysian Inisght oleh Najjua Zulkefli, 8 Mac, 2018.
Iklan

TIDAK berpuas hati dengan cara kerajaan negeri menguruskan bekalan air di Selangor sehingga melibatkan daerah di Lembah Klang, pemimpin Barisan Nasional hari ini berkata sudah tiba masanya Wilayah Persekutuan mempunyai sumber airnya sendiri.

Ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari menyokong cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tengku Adnan Tengku Mansor, memandangkan gangguan bekalan air yang dihadapi di daerah itu dijangka akan berlarutan lebih lama daripada tempoh yang dijangka.

Ahmad Fauzi berkata, sistem agihan yang dijadualkan kepada penduduk perumahan setempat juga tidak sistematik di mana mereka terpaksa menunggu pada waktu yang tidak ditetapkan.

“Macam semalam pagi sampai dua pagi saya terpaksa membuat pemantauan kepada penghantaran air-air ini kepada rumah-rumah apartment.

“Mula-mula masalah dia dah tahu ada catuan dan ada maintenance - we bet that. Tapi bila tiba masanya, dia gagal laksanakan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan dua hari lalu berkata, kerja-kerja pembaikan telah siap dilaksanakan lebih awal dari masa yang ditetapkan iaitu pada jam 5 petang.

Namun, Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di Loji Rawatan Air SSP3 pecah semasa persediaan unutk mengaktifkan semula pengoperasian loji.

“Kadang-kadang dia janji pukul 8 pagi, sehingga 3 pagi tak sampai. Dah 3 pagi dia cakap tak ada orang. Memang orang dah tidur. Maknanya dia tidak efisyen.

“Oleh itu, sudah sampai masanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai pihak berkuasa sendiri untuk mengendalikan bekalan air kerana kita cukup terkesan disebabkan air ini,” katanya.

Ahad lalu, Tengku Adnan berkata cadangan penubuhan Jabatan Air Wilayah Persekutuan sudah dikemukakan kepada Kabinet dan kini menunggu keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA).

Media sebelum ini melaporkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahu mempunyai jabatan air sendiri bagi membolehkan Kuala Lumpur berdikari dalam  urusan air dan tidak lagi bergantung bekalan dari Selangor. – 8 Mac, 2018.

Iklan
Iklan