Iklan

Letak bunga di sekolah tanda penghormatan terakhir kepada mangsa tanah runtuh

Angie Tan2 years ago21st Dec 2022Berita
batang kali penghormatan terakhir sekolah mun choong
Orang ramai meletakkan bunga di sekolah itu sebagai penghormatan kepada warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong yang terkorban, Jumaat lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2022.
Iklan

PELBAGAI jambangan bunga diletakkan orang ramai di pintu masuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong meski dilarang oleh pihak sekolah.

Difahamkan bunga tersebut sebagai tanda penghormatan terakhir orang ramai kepada 24 mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Jumaat lalu.

Ketika tiba di sekolah berkenaan, The Malaysian Insight bertemu dengan tiga wanita yang membawa jambangan bunga.

Menurut mereka, kehadiran mereka sebagai tanda penghormatan terakhir selepas mengetahui kejadian malang yang menimpa guru sekolah tersebut.

Mereka juga akui tidak sedar dengan notis larangan yang dikeluarkan pihak sekolah tersebut.

Dalam masa yang sama, mereka tetap berharap mangsa yang masih hilang akan ditemui secepat mungkin.

Pengawal keselamatan sekolah itu memberitahu The Malaysian Insight, meskipun notis larangan pemberian bunga sudah dikeluarkan, masih ramai orang yang datang dan meletakkan bunga di pintu pagar sekolah.

“Kejadian ini sangat menyedihkan dan kami juga tak tahu macam mana nak tolak orang yang datang. Jadi kami letak meja panjang di sebelah pos pengawal untuk mereka letak bunga,” katanya.

Sebelum ini, orang ramai yang datang meletakkan bunga di bawah papan tanda nama sekolah di pintu masuk namun sekarang pihak sekolah telah menutup kawasan berkenaan.

Pihak sekolah melarang orang ramai meletakkan bunga di pintu pagar sekolah. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2022.

 

Selain itu People’s Hua Xiao Xi Foundation turut melancarkan kempen mengumpul dana bagi membantu keluarga guru yang terkorban itu.

Salah seorang pengarahnya, Leong yang juga pengarah kewangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru berkata pihaknya menerima maklum balas yang memberangsangkan sejak kempen itu dilancarkan.

“Semua dana yang terkumpul akan diagihkan kepada keluarga mangsa mengikut situasi dan keperluan mereka.

“Nanti kami akan keluarkan kenyataan media dengan perincian berkaitan kempen kumpul dana itu,” katanya sambil memaklumkan kempen itu akan berjalan sehingga 26 Disember ini.

Sementara itu guru besar, guru dan wakil persatuan menolak untuk mengulas ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Seramai 23 orang daripada sekolah tersebut dengan tujuh daripadanya merupakan guru selebihnya merupakan rakan serta ahli keluarga yang ikut serta dalam perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jumaat lalu.

Menurut laporan, enam guru, tiga pelajar serta dua kakitangan kafeteria dari sekolah tersebut terkorban dan hanya seorang guru yang terselamat dalam kejadian itu.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi 16 Disember lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

Setakat ini sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat dalam kejadian itu. – 21 Disember, 2022.

Iklan
Iklan