NFC masih berhutang RM248 juta dengan kerajaan, kata Kementerian Kewangan
Iklan
KEMENTERIAN Kewangan hari ini memaklumkan bahawa National Feedlot Corporation (NFC) masih mempunyai hutang dengan kerajaan sebanyak lebih daripada RM248 juta, daripada pinjaman ringan RM250 juta yang ia terima.
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Sim Tze Tze (PKR-Bayan Baru), kementerian itu berkata sehingga 31 Januari tahun ini, NFC masih belum menjelaskan bayaran sebanyak RM248,193,173.81.
“NFC membayar sebanyak RM24.98 juta pada 2012 dan 2013. Jumlah yang disita dari NFC dan syarikat berkaitan di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia ialah RM46,934,703.17.
Jelas Kementerian Kewangan lagi, pada 22 Februari 2107, Mahkamah Majistret Tampin telah mengeluarkan writ pemilikan untuk memerintahkan NFC mengosongkan premisnya bermula 1 Mac tahun lalu.
Sim telah meminta penjelasan Kementerian Kewangan mengenai jumlah yang telah NFC bayar kepada kerajaan pada Disember 2017 dan sama ada kerajaan sudah menyita aset NFC seperti kondominnium dan kereta mewah.
Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamas selepas didapati bersalah mendedahkan dokumen bank berkaitan kebocoran akaun NFC.
Namun, tiada siapa didapati bersalah atas kegagalan projek tersebut.
Menurut laporan ketua audit negara, NFC telah berjanji untuk membiak 8,000 ekor lembu menjelang 2010. Tetapi, pusat projek yang bernilai RM74 juta yang terletak di Gemas itu hanya membiak 3,289 atau 41% daripada sasarannya. – 8 Mac, 2018.