Pengedar kereta terpakai saksi jualan 2022 melonjak
Iklan
INDUSTRI kereta terpakai menyaksikan jualan meningkat sebanyak 15% tahun ini dan dijangka berkembang maju pada 2023, kata Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM).
Presidennya Tony Khor Chong Boon memberitahu The Malaysian Insight bahawa industri itu menyaksikan keuntungan meningkat sebanyak 15% berbanding 2021.
“Tahun ini sangat baik berbanding tahun lepas. Januari hingga Julai sangat baik, Ogos masih baik, September lambat sedikit seperti Oktober dan November tetapi perniagaan masih bagus berbanding 2021,” katanya.
“Industri menyaksikan pertumbuhan dua angka sebanyak 12-15%.”
Dalam menjangkakan kemelesetan, Khor berkata pembeli akan beralih kepada kereta yang lebih murah dalam kegawatan ekonomi.
“Kami menjangkakan industri kereta terpakai akan berjaya pada tahun hadapan walaupun berlaku kemelesetan. Ini kerana seseorang yang menggunakan kereta RM100,000 akan bertukar kepada kereta berharga RM70,000 hingga RM60,000,” kata Khor.
Pengedar kereta terpakai tidak dibenarkan beroperasi tahun lepas di tengah-tengah sekatan Covid.
Persatuan Pengilang Automobil Malaysia sebelum ini berkata sektor automobil terjejas teruk oleh penutupan yang bermula 1 Jun tahun lalu dan berakhir pada Mac.
Pengangkutan peribadi
Khor berkata jualan meningkat tahun ini kerana beberapa faktor termasuk kekurangan pengangkutan awam.
“Ramai di antara kita masih memerlukan pengangkutan sendiri untuk bergerak kerana pengangkutan awam kekurangan.
“Walaupun Grab berjaya melakukannya dengan baik, orang ramai masih lebih suka membeli kereta sendiri. Cuaca panas adalah satu lagi sebab mengapa orang ramai lebih suka memandu,” tambahnya.
Kebimbangan penularan Covid-19
Khor berkata orang ramai juga mengelak pengangkutan awam kerana ketakutan Covid-19.
“Kami faham bahawa orang ramai takut dijangkiti virus jika mereka menggunakan bas atau kereta api.
“Jadi mereka beralih kepada kereta terpakai untuk pengangkutan mampu milik.”
Khor berkata, platform digital juga membantu meningkatkan jualan.`
“Ramai ahli kami menjual secara dalam talian dan sambutannya adalah baik.”
FMCCAM tahun lepas melancarkan platform eAuto untuk menjual kereta terpakai dalam talian. Ia dilaporkan mencatatkan purata 90,000 transaksi sebulan.
Persatuan itu mewakili 4,600 syarikat dengan 7,000 cawangan di seluruh negara. Ahlinya menyumbang 90% daripada jualan kereta terpakai. – 24 Disember, 2022.