Iklan

Jawatan politik dalam GLC bantu perkukuh kerajaan, kata penganalisis, pemimpin parti

Mohd Farhan Darwis2 years ago24th Dec 2022Berita
perpaduan zahid anwar
Anwar Ibrahim berkata pemimpin politik masih boleh dilantik menguruskan GLC juga badan berkanun tetapi terikat kepada syarat dan perlu mempunyai kelayakan berkaitan. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 24 Disember, 2022.
Iklan

WAKIL politik masih perlu dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan hasrat kerajaan dapat dicapai namun perlu berdasarkan merit, kata penganalisis dan pemimpin parti.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, langkah itu akan mengukuhkan parti dan melihatnya sebagai tanda keterbukaan PH ke atas Umno.

Namun pelantikan pemimpin ini termasuk dalam badan berkanun kerajaan juga tidak boleh dijadikan sebagai habuan politik, kata seorang pengkaji Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali.

Beliau memberi amaran, walaupun agensi terbabit mungkin menjana keuntungan, visi dan misi kerajaan mungkin tidak tercapai tanpa lantikan dari pemimpin politik.

“Ahli politik perlu ada dalam GLC supaya cita-cita dan hasrat kerajaan itu dapat direalisasikan tetapi lantikan kena berdasarkan merit, supaya boleh bantu organisasi capai matlamat.”

Beliau berkata, pemimpin politik yang dilantik sebagai pengerusi atau pengarah juga mempunyai kelebihan dan pengalaman tertentu yang mampu membantu organisasi tersebut.

“Ahli politik bukan lahir sebagai ahli politik tapi ada pengalaman korporat dan sebagainya,” tambahnya.

Tegasnya, pelantikan tersebut tidak sepatutnya menjadi habuan kepada individu tertentu dan tidak  boleh melibatkan pemimpin yang rasuah dan mempunyai rekod pencapaian buruk.

Beliau menyebut demikian bagi mengulas ketetapan kerajaan PH dalam menghentikan amalan melantik pemimpin politik ke dalam GLC dan badan berkanun.

Ketetapan itu menimbulkan kontroversi apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula ke Felcra.

Pengumuman Zahid yang juga presiden Umno pada minggu lalu menimbulkan kritikan kerana Kabinet memutuskan amalan lantikan politik seperti itu ditamatkan.

Ia turut dilihat sebagai usaha memperkuat pengaruh Umno di kawasan luar bandar apabila hanya berjaya menguasai 30 kerusi melalui gabungan BN dalam PRU15.

Namun Zahid menjelaskan, pelantikan Jazlan itu dipertimbangkan kerana berdasarkan kehendak ahli Koperasi Peserta Felcra Bhd.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian pada Rabu berkata pelantikan itu ditangguhkan namun tidak bermakna amalan itu disekat sama sekali.

Jelasnya, pemimpin politik masih boleh dilantik menguruskan GLC juga badan berkanun tetapi terikat kepada syarat dan perlu mempunyai kelayakan berkaitan.

Mazlan bersetuju dengan ketetapan itu dan berpendapat ciri profesional pemimpin yang dilantik akan membantu menghubung aspirasi politik PH dalam pengurusan agensi terbabit.

“Pengurusan pula mestilah terdiri daripada kumpulan eksekutif dan profesional supaya boleh fokus tingkatkan produktiviti organisasi. Kalau letak orang politik tak dapat fokus memperkasa organisasi.

“Dalam kerajaan perpaduan sekarang tak boleh elak. Mesti ada gabung jalin antara orang politik, profesional dan pegawai kanan kerajaan duduk dalam agensi ini,” katanya.

Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan yang merupakan Pengerusi Umno Kelantan sebagai pengerusi Felcra.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2022.

Mazlan juga berkata, kaedah pelantikan yang lebih tegas bukan sahaja dapat dimanfaatkan parti politik tetapi juga secara tidak langsung memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Manfaat kepada politik memang ada, (contohnya) apa program GLC dan agensi yang boleh dibuat untuk manfaat rakyat dan secara tak langsung mengukuhkan sokongan politik kepada parti.

“Bukan sahaja Umno tetapi juga parti lain. Tidak ada parti yang tidak guna kelebihan agensi dan GLC, yang penting telus dan tiada ruang penyelewengan.

“Sekiranya dibuat program untuk kepentingan rakyat saya rasa ia boleh dimanfaatkan,” kata Mazlan.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, pelantikan ke dalam GLC mampu mengukuhkan kedudukan seseorang pemimpin di dalam hierarki parti.

“Sudah tentulah apabila ada pemimpin Umno diletakkan di GLC, ia dapat mengukuhkan kedudukan mereka, kedudukan dalam hierarki parti.

“Sudah pasti bila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, beliau akan pastikan orang dalam hierarki parti dapat keutamaan.

Langkah itu seterusnya akan mengukuhkan lagi parti terbabit yang akan menghadapi pilihan raya negeri di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 2023.

“Mereka dapat kukuhkan kedudukan dan kuatkan parti, terutamanya menjelang PRN akan datang.

“Sebab itu Zahid tekankan pelantikan Jazlan sebagai pengerusi Felcra untuk kukuhkan Umno di Kelantan.

“Apabila ada jawatan dalam GLC mereka akan jadi lebih kukuh dari segi kewangan dan pengaruh,” kata Awang Azman.

Selain negeri tersebut, PRN juga berlangsung di tiga negeri dikuasai PH – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Walaupun pelantikan ditangguhkan, Mazlan percaya keputusan itu hanya sementara dan Ahmad Jazlan akan kekal dilantik mengisi jawatan tersebut.

Beliau berpendapat, kedudukan kerajaan akan tergugat sekiranya pelantikan itu dibatalkan.

“Mungkin ada beberapa perkara yang nak diteliti, kalau ditolak pelantikan orang politik mungkin boleh sebabkan ketidakharmonian (antara) parti, jadi perlu dibincangkan.

“Zahid umum pelantikan terlalu cepat, banyak perkara perlu dilihat dahulu, mungkin perdana menteri nak bincang lebih mendalam dan lepas ini akan diumumkan,” katanya.

Seorang pemimpin Umno yang pernah dilantik dalam satu GLC pula berkata pengumuman awal mengenai pelantikan Jazlan menunjukkan komitmen PH menerima Umno sebagai rakan.

Bekas pengarah Institut Koperasi Malaysia Bastien Onn berkata wakil parti juga dapat menjadi ejen semak dan imbang kepada pentadbiran dan perjalanan agensi melalui jawatan mereka.

“(Pelantikan itu) merupakan manifestasi kerajaan menerima Umno sebagai rakan baik, kalau itu tak dilakukan menunjukkan seolah-olah kerjasama kelihatan longgar.

“Kalau PKR lantik (wakil mereka) sahaja dalam agensi, tanpa wakil Umno seolah-olah mereka tak hormati pengkongsian kuasa apabila menubuhkan kerajaan campuran,” katanya.

Malah tidak wajar sekiranya amalan itu ditolak sama sekali kerana ia hanya bersifat sementara.

“Ia datang dengan tanggungjawab. Mereka perlu lihat dasar agensi tersebut dan menjadi wakil kerajaan untuk pastikan dasar dilaksanakan.

“Itu bukan kerja tetap, tempoh lantikan dua tahun sekali. Profesional mana mahu (menjawat jawatan) lantikan dua tahun sekali selepas itu tiada gaji penuh.

“(Kedudukan) tidak beri sebarang jaminan, walhal sesetengah agensi perlukan perhatian ahli lembaga pengarah,” kata Bastien lagi.

Sewaktu menguasa Putrajaya buat kali pertama pada 2018, PH turut meneruskan amalan lantikan politik dalam GLC dan badan berkanun sewaktu pimpinan perdana menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad. – 24 Disember, 2022.

Iklan
Iklan