Iklan

Runding dengan kami, pemain industri telur beritahu kerajaan

Angie Tan2 years ago24th Dec 2022Berita
telur import India
Bekalan telur fasa percubaan tiba di KLIA pada 16 Disember lalu. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2022.
Iklan

KEPUTUSAN mengimport telur dari India merupakan langkah jangka pendek bagi menangani isu kekurangan bekalan dan kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk jangka panjang.

Presiden Peniaga Telur Selangor Low Hin Ching berkata masalah kekurangan bekalan itu akan berulang dan pada masa yang sama rungutan industri perlu ditangani.

“Ladang yang berdepan kerugian akan terus mengurangkan pengeluaran bagi memastikan perniagaan mereka kekal untung dan bertahan.

“Jika kita hanya bergantung kepada telur dari India dan pengeluar tempatan sudah mengurangkan pengeluaran jika ada masalah dengan telur dari India itu,  lepas setengah tahun atau setahun pengguna akan berdepan masalah,” katanya.

Menurut Hin Ching, keadaan itu tidak akan selesai melainkan kerajaan membenarkan harga telur diapungkan atau menaikkan 10 sen daripada harga kawalan buat masa ini.

Pada masa ini, harga siling telur ayam gred A ditetapkan 45 sen sebiji, gred B 43 sen sebiji dan gred C 41 sen sebiji.

Mekanisme kawalan harga ini terpakai untuk telur gred A, B dan C dengan berat antara 59.9gram dan 65gram. Ia tidak terpakai untuk jenis telur premium seperti Omega-3, organik atau kampung.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (PPPBRM), Hong Chee Meng turut senada dengan Hin Ching dan berkata Putrajaya sepatutnya berunding dengan pemain industri.

“Dalam tempoh singkat saya percaya import telur ini akan beri kesan sederhana kepada pasaran. Sekarang Krismas dan akan datang Tahun Baharu Cina, pengguna akan gembir melihat telur penuh di rak,” katanya.

Tambahnya, meskipun telur import sedikit mahal namun pengguna tidak akan merungut kerana mereka hanya mahukan bekalan.

Ameer Ali Mydin menunjukkan telur import gred D yang dijual di Mydin USJ Subang. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2022.

Menurut laporan The Star, Mydin USJ Subang, Selangor menjadi destinasi pertama telur import dari India itu dijual di negara ini.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin berkata telur import itu terjual dengan cepat.

Menurutnya, telur import itu merupakan gred D dengan berat 55g, jauh lebih kecil berbanding gred C tempatan yang seberat antara 55g dan 59g.

Katanya satu papan telur import dijual RM14.90 untuk 30 biji atau 50 sen sebiji di mana harganya lebih tinggi berbanding telur gred A yang hanya 45 sen sebiji di Semenanjung namun lebih murah berbanding telur Omega yang berharga 65 sen sebiji.

Namun Ameer Ali juga berpendapat sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu berunding dengan pengeluar telur ayam tempatan kerana pengguna tidak mampu untuk terus membayar dengan harga yang lebih tinggi.

Pada 6 Disember lalu, kerajaan bersetuju mengimport telur daripada pelbagai sumber luar sebagai langkah jangka pendek bagi memenuhi permintaan domestik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pihaknya sudah mengenal pasti sumber luaran untuk menampung bekalan domestik bagi memastikan bekalan telur di pasaran mencukupi.

“Kementerian akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan Kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Kementerian faham keperluan bekalan telur ayam yang merupakan makanan seharian berprotein dalam kalangan rakyat dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan,” katanya.

Tambah Mohamad Sabu inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

Katanya langkah itu akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil. – 24 Disember, 2022.

Iklan
Iklan