Iklan

Penduduk rayu PM benarkan beli unit flat yang disewa

Alfian Z.M. Tahir2 years ago26th Dec 2022Berita
Seri perghelih
Penduduk flat Seri Perlis 2 di Keramat Jaya merayu kerajaan membantu mereka utnuk memiliki rumah berkenaan selepas lebih 40 tahun menjadi penyewa di skim perumahan awam itu.– Gambar Facebook, 26 Disember, 2022.
Iklan

SELEPAS lebih 40 tahun menyewa unit rumah awam di Seri Perlis 2 di Keramat Jaya, penduduk di sini merayu kepada kerajaan baharu supaya membantu mengenai status mereka.

Ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini membangkitkan isu unit rumah lama di Kuala Lumpur dalam pertemuan dengan Dewan Bandaraya.

Jurucakap penduduk di Seri Perlis 2 memberitahu sidang media hari ini bahawa ramai keluarga telah menyewa selama 40 tahun tetapi masih belum diberikan hak untuk memiliki unit rumah tersebut.

Norhasimah Daud berkata mereka pada mulanya dijanjikan oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka boleh memiliki unit itu jika mampu membayar sewa selama 10 tahun tetapi sehingga kini, tiada persetujuan dibuat oleh kerajaan untuk membenarkan pembelian rumah berkenaan.

“Ini pada tahun 70-an ketika bapa saya menyewa rumah itu. Sekarang saya menyewanya dan bapa saya kini seorang datuk. Kerajaan lama di bawah Dr Mahathir pernah berkata jika kita tinggal dan membayar sewa selama 10 tahun, kita akan layak untuk membeli rumah tersebut.

“Tetapi 40 tahun kemudian, kami masih menyewa,” katanya.

Anwar minggu lalu membangkitkan isu perumahan lama di bandar itu dengan memetik Seri Perlis 2.

Beliau berkata flat di Seri Perlis 2 sudah lama dan sebagai pelan pembangunan, penduduk perlu diberi rumah baharu dan flat itu dirobohkan.

Pada sidang media yang sama, bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad mencadangkan perdana menteri memberikan hak milik kepada penduduk.

Beliau berkata dengan memberikan hak milik kepada mereka, mereka layak menerima pampasan sekiranya Putrajaya bersetuju untuk membangunkan kawasan itu suatu hari nanti.

“Setakat ini mereka masih menyewa. Jika kerajaan mahu membangunkan kawasan ini, mereka tidak dapat apa-apa kerana mereka bukan pemiliknya.

“PM sepatutnya memberi hak milik kepada mereka kerana mereka telah menyewa selama 40 tahun. Mereka layak mendapat pampasan jika kawasan ini mahu dibangunkan,” kata Khalid.

Menurut Khalid, kedua-dua wakil dari Kampung Sungai Baru dan Flat Seri Perlis 2 akan menghantar surat rayuan perdana menteri.

“Kami akan menulis kepada PM mengenai isu ini dan akan cuba menetapkan tarikh untuk bertemu PM,” tambahnya. – 26 Disember, 2022.

Iklan
Iklan