Selepas 40 tahun, penyewa rayu diberi hak miliki rumah DBKL
Iklan
SELAMA hampir 42 tahun, penyewa Perumahan Awam Seri Perlis 2 di Keramat Jaya, Kuala Lumpur sudah melakukan pelbagai cara untuk bertemu pegawai tinggi kerajaan dalam usaha mereka memiliki unit yang disewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, hingga kini biarpun kerajaan silih berganti namun masalah pemilikan rumah yang dihadapi penduduk masih belum dapat diselesaikan.
Menurut penduduk, kepayahan dan perjuangan untuk membeli unit ini juga pernah disiarkan stesen televisyen namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
“Dari zaman Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi, seterusnya Najib Razak, dan kemudian pertukaran kerajaan pada 2020 diikuti dengan kemelut politik dan sekarang Anwar Ibrahim.
“Kami sudah bertahun-tahun berjuang untuk memiliki rumah-rumah ini. Dari ayah, kepada saya dan sekarang anak-anak saya. Ada jiran kami sudah meninggal dunia dan kini anak-anak mereka tinggal di sini dan masih membayar sewa.
“Empat puluh dua tahun adalah masa yang lama, kami pernah cuba menangani perkara ini selama bertahun-tahun. Surat demi surat dihantar tetapi tiada sesiapa yang cuba membantu,” kata Norhasimah Daud.
Semalam, penduduk mengadakan sidang media secara terbuka menggesa kerajaan baharu membantu mereka menjadi pemilik rumah berkenaan.
Ini selepas Perdana Menteri Anwar baru-baru ini membangkitkan isu unit rumah lama di Kuala Lumpur dalam pertemuan bersama DBKL, yang turut menyebut kes Perumahan Awam Seri Perlis 2.
Beliau berkata perumahan ini sudah lama dan sebagai rancangan pembangunan, penduduk perlu diberi rumah baharu dan dirobohkan.
Penduduk pada mulanya ditawarkan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir yang mereka boleh memiliki unit disewa jika mereka mampu membayar sewa selama 10 tahun tetapi sehingga kini, tiada sebarang persetujuan dibuat kerajaan untuk membenarkan mereka membeli rumah tersebut.
Norhasimah berkata, selepas membayar sewa selama bertahun-tahun, penduduk di sini sebenarnya sudah membayar harga unit dan sepatutnya menjadi pemilik.
“Jika kami membuat pinjaman bank untuk membeli rumah, kami sebenarnya sudah membayar jumlah penuh.
“Kami sedia berunding dengan DBKL dan kerajaan. Kami sanggup membayar sejumlah kecil untuk membolehkan kami menjadi pemilik rumah,” katanya.
Suri rumah itu berkata DBKL enggan mendengar rungutan mereka.
“Kalau tidak silap, semasa zaman Najib, beliau ada mengarahkan perkara itu dikaji DBKL tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku.
“Perkara itu reda dan kami menunggu lagi dan lagi. Ia diketengahkan oleh stesen TV tetapi tiada siapa yang memberi perhatian kepada kami,” katanya yang menjadi jurucakap kepada penduduk.
Sementara itu, seorang pesara memberitahu The Malaysian Insight, beliau berharap kerajaan baharu akan mendengar dan mempunyai belas ihsan untuk membantu golongan miskin.
Menurut pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Majid itu, Anwar mempunyai keupayaan untuk membantu penduduk memandangkan beliau pernah menjadi aktivis membantu golongan miskin di perkampungan Melayu luar bandar.
“Semasa muda beliau sentiasa bersama orang miskin dan kini beliau menjadi perdana menteri, jadi saya harap beliau dapat membantu kami kali ini.
“Kami tidak meminta banyak daripada kerajaan. Benarkan kami memiliki rumah ini. Kami tidak tinggal secara percuma dan perjanjiannya jika kami membayar lebih 10 tahun, kami boleh memiliki unit ini.
“Saya berharap kerajaan baharu ini dapat mendengar dan ambil perhatian dengan apa yang kami mahu sampaikan,” kata Majid.
Terdapat kira-kira 300 penduduk di Perumahan Awam Seri Perlis 2 milik DBKL. Terdapat juga laporan DBKL sedang mengkaji untuk membangunkan semula kawasan ini dan berhasrat untuk menghalau penduduk tersebut.
Perumahan itu terletak kira-kira 3 kilometer dari pusat membeli-belah Kuala Lumpur City Centre.
Masalah turut belenggu penduduk Kg Sungai Baru
Sementara itu, masalah perumahan ibu kota turut membelenggu penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selepas mereka menerima notis pengusiran.
Jurucakap penduduk, Johari Zakaria berkata, ramai yang terkejut menerima surat daripada pemaju itu kerana rundingan masih belum selesai.
“Bagaimana kita boleh dihalau sedangkan kita tidak bersetuju dengan pampasan? Jumlah yang kita dapat adalah jauh lebih rendah daripada keuntungan yang akan mereka perolehi,” kata Johari.
Menurutnya, penduduk akan menghantar surat kepada Anwar seawal minggu ini, meminta campur tangan Ahli Parlimen Tambun itu untuk membantu membatalkan notis pengusiran.
“Notis pengusiran itu bukan perintah mahkamah tetapi daripada DBKL. Dewan bandaraya kini di bawah pejabat PM dan PM boleh bersuara secara terus.
“Kami akan hantar surat meminta PM sekurang-kurangnya menangguhkan proses sehingga kami dapat apa yang kami tuntut. Apa yang kami minta hanyalah layanan yang adil dan jangan layan kami secara tidak adil. Kami boleh keluar, tetapi berikan hak kami,” tambahnya.
Sebelum ini, penduduk pernah cuba menarik perhatian Ismail Sabri Yaakob ketika ahli parlimen Bera itu menjadi perdana menteri.
Pada April, The Malaysian Insight melaporkan penduduk di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru enggan berpindah walaupun sudah menerima notis pengusiran berikutan pengambilalihan tanah oleh pemaju.
Penduduk yang membantah arahan itu berkata mereka akan terus berjuang untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada RM250,000 yang ditawarkan setiap isi rumah di lokasi utama bernilai tinggi berhadapan dengan menara berkembar Petronas.
Kampung rizab Melayu terakhir di tengah-tengah bandar, Kampung Baru adalah ikonik kepada penduduk dan mereka ingin mengekalkan pemuliharaan warisan demi kepentingan budaya serta sejarah kawasan itu. – 27 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.