Sahabat kenang Sanusi sebagai intelektual, pejuang yang setia
Iklan
AHLI keluarga dan sahabat handai Sanusi Junid berhimpun di Masjid Saidina Umar di Bukit Damansara untuk memberi penghormatan terakhir terhadap allahyarham yang meninggal dunia awal pagi ini.
Antara pemimpin yang paling awal tiba untuk menziarahi jenazah allahyarham Sanusi Junid hari ini adalah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Mengulas mengenai pemergian Sanusi, Daim menyifatkan Sanusi sebagai kawan setia.
“Dia seorang yang sangat berpengetahuan, dia akan berjuang untuk anda. Saya bertemu dia tiga minggu lalu,” kata Daim.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press, A Kadir Jasin pula berkata Sanusi merupakan tokoh yang mendahului zaman.
“Dia seorang intelektual, seorang ahli perbankan. Dia tidak boleh berhenti membaca.
“Dia juga suka bercerita, dan penjelasannya selalunya akademik. Dia antara intelektual terawal yang menyertai politik, ketika era Tun Razak,” kata Kadir merujuk kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.
Kadir berkata Sanusi juga gemar berterus terang dan ia memberi kesan kepada karier politiknya.
“Saya fikir sebab itulah dia tidak meningkat naik lebih tinggi, kerana dia jujur dalam kata-katanya,” kata Kadir.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula mengenang Sanusi sebagai seorang pejuang sebenar dalam arena politik.
“Dia akan sebut apa di fikirannya, mengenai isu yang menjejaskan negara.
“Malah ketika kesihatannya tidak baik, pada usia 74 tahun, dia masih datang dan hadir ke program untuk berjuang demi negara,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
“Kita perlukan pemikir sepertinya, kita perlukan orang seperti ini dalam politik,” kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail ketika ditemui di Masjid Saidina Umar.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharum, bekas menteri Rais Yatim serta barisan pemimpin PH, Tian Chua, Saifuddin Nasution Ismail, R Sivarasa dan Teresa Kok.
Jenazah allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat fardu Jumaat.
Sanusi pernah berkhidmat di dalam Kabinet sebagai menteri pembangunan luar bandar di antara 1981 dan 1986 serta timbalan perdana menteri dari 1980 hingga 1981.
Sanusi meninggalkan Umno dan menyertai parti Bersatu yang ditubuhkan Dr Mahathir.
Pada Jun lalu, beliau dipilih sebagai pengerusi lembaga disiplin Bersatu.
Kerjaya politik Sanusi dalam perkhidmatan awam bermula pada usia 31 tahun apabila beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Jerai. Beliau kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Jerlun dalam pilihan raya umum 1982.
Beliau berkhidmat sebagai menteri pertanian sebelum menjadi menteri besar Kedah antara 1996 hingga 1999.
Kebanyakan tempoh khidmatnya dalam perkhidmatan awam adalah semasa pentadbiran Dr Mahathir. Kedua-dua anak kelahiran Kedah itu mempunyai hubungan akrab.
Pilihan raya terakhir yang disertainya adalah pada 1999, apabila beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuah. – 9 Mac, 2018.