Sanusi rebah selepas wudhu solat subuh
Iklan
BEKAS Menteri Besar Kedah Sanusi Junid tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sebelum meninggal dunia pada pagi ini semasa menunggu untuk menunaikan solat Subuh, kata anaknya.
Akramshah berkata bapanya itu malah turut menghadiri majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan pada malam tadi.
“Keadaannya baik semalam. Beliau bangun tidur pagi ini seperti biasa untuk sembahyang Subuh,” katanya kepada pemberita di kediaman mereka di Bangsar.
Akramshah berkata allahyarham juga baru membuat pemeriksaan kesihatan semalam dan keputusannya baik.
“Tetapi alhamdulillah, beliau meninggal dunia dengan aman, pada hari Jumaat, semasa menunggu menunaikan solat.
“Ibu saya yang memeriksa keadaan dia kerana mereka mahu sembahyang berjemaah,” kata Akramshah.
Ahli keluarga dan sahabat handai allahyarham berhimpun di Masjid Saidina Umar di Bukit Damansara sejak jam 10 pagi ini untuk memberi penghormatan terakhir.
Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat fardu Jumaat.
Sanusi pernah berkhidmat di dalam Kabinet sebagai menteri pembangunan luar bandar di antara 1981 dan 1986 serta timbalan perdana menteri dari 1980 hingga 1981.
Sanusi meninggalkan Umno pada 2008 dan menyertai parti Bersatu yang ditubuhkan Dr Mahathir.
Pada Jun lalu, beliau dipilih sebagai pengerusi lembaga disiplin Bersatu.
Kerjaya politik Sanusi dalam perkhidmatan awam bermula pada usia 31 tahun apabila beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Jerai. Beliau kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Jerlun dalam pilihan raya umum 1982.
Kebanyakan tempoh khidmatnya dalam perkhidmatan awam adalah semasa pentadbiran Dr Mahathir. Kedua-dua anak kelahiran Kedah itu mempunyai hubungan akrab.
Pilihan raya terakhir yang disertainya adalah pada 1999 apabila beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuah. – 9 Mac, 2018