Tangguh sementara pelancong dari China, kata PAS
Iklan
SUSULAN peningkatan jumlah kes Covid-19 di China, PAS mahu kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari negara itu.
Ketua Penerangan parti Khairil Nizam Khirudin berkata Putrajaya perlu memberi perhatian yang teliti terhadap jumlah kes Covid-19 di negara yang menerima pelancong dari China.
“PAS menyarankan supaya kerajaan berhati-hati dengan penularan kes baharu Covid-19. Malaysia perlu belajar daripada penularan Covid-19 pada 2020, apabila ia tidak mengambil langkah untuk mencegah kemasukan pelancong yang berisiko dijangkiti,” katanya.
Kementerian kesihatan semalam mengumumkan semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu bagi demam di tengah-tengah kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata mereka yang didapati demam atau mengisytiharkan diri mereka demam akan segera dirujuk ke pusat kuarantin untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa kesihatan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah melancong ke China dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan mereka.
Beliau berkata sampel akan dihantar untuk ujian genom jika mana-mana daripada mereka positif Covid-19.
Sementara itu, China menegaskan data yang dikeluarkannya mengenai kematian Covid-19 sentiasa telus, walaupun angka rasmi kecil berbanding negara lain dan hospitalnya dilanda jangkitan.
Sebuah badan kawalan penyakit kebangsaan berkata terdapat kira-kira 5,500 kes tempatan baharu dan satu kematian hari ini, tetapi dengan berakhirnya ujian besar-besaran dan penyempitan kriteria untuk apa yang dikira sebagai kematian Covid-19, angka itu tidak lagi dipercayai mencerminkan realiti.
Sesetengah pakar menganggarkan mungkin terdapat sebanyak 9,000 kematian setiap hari. – 31 Disember, 2022.