Iklan

Cabaran besar menanti pada 2023

Alfian Z.M. Tahir2 years ago1st Jan 2023Berita
Kl daily 291021 tmiseth 03
Malaysia akan berdepan banyak harapan dan permulaan baharu pada tahun 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2023.
Iklan

MALAYSIA memasuki tahun baharu dengan banyak harapan dan permulaan yang baharu. Adanya kestabilan politik apabila wujudnya kerajaan baharu.

Ini seterusnya akan menarik pelaburan ke dalam negara yang akan membantu pemulihan cepat ekonomi yang terbantut.

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim juga menjanjikan banyak pembaharuan - daripada meningkatkan taraf hidup rakyat kepada menjadikan institusi lebih baik.

Tetapi ini tidak akan datang dengan mudah.

Berikut adalah beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia pada tahun 2023.

Memperkukuh ekonomi

Dilaporkan 2022 sepatutnya menjadi tahun kemunculan semula ekonomi dunia berikutan pandemik Covid-19.

Sebaliknya 2022 dicatatkan dengan perang baharu, rekod inflasi dan bencana berkaitan iklim. Ia adalah tahun “polycrisis” atau tahun pelbagai krisis, istilah yang dipopularkan oleh ahli sejarah Adam Tooze.

Selepas krisis ekonomi yang disebabkan oleh Covid pada 2020, harga pengguna mula meningkat pada 2021 apabila negara-negara mula membuka sekatan.

Bank pusat menegaskan inflasi yang tinggi hanya bersifat sementara apabila ekonomi kembali normal. Tetapi pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari menyebabkan harga tenaga dan makanan melonjak.

Tiga bulan lalu bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ekonomi pada suku ketiga 2022 akan menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh berdasarkan petunjuk ekonomi positif semasa.

Penganalisis juga menggesa politik stabil yang sepatutnya membawa ganjaran ekonomi kepada negara.

Sekiranya Anwar berjaya menstabilkan suhu politik negara, sudah pasti Malaysia boleh menarik pelabur asing.

Anwar lulus undi percaya di Parlimen dengan dua pertiga ahli Parlimen menyokongnya.

Menurunkan harga barang

Ini akan menjadi cabaran besar bagi kerajaan kerana perlu memperkenalkan rancangan jangka panjang dari segi bekalan dan jaminan makanan yang mencukupi.

Setakat ini belum ada penyelesaian konkrit untuk menyelesaikan kekurangan makanan atau cubaan untuk menurunkan harga.

Tahun ini akan membolehkan kerajaan baharu terutamanya daripada PH mempraktikkan semua penyelesaian yang mereka perkatakan selama bertahun-tahun sepanjang mereka menjadi pembangkang.

Kerajaan perpaduan

Penganalisis meramalkan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS dan Warisan akan menamatkan penggal lima tahunnya selepas pemimpin parti bersetuju mengetepikan perbezaan dalam MoU yang ditandatangani tidak lama dahulu.

Bagaimanapun keadaan mungkin tidak sama pada 2023 kerana Perikatan Nasional masih bersaing untuk menggantikan kerajaan sedia ada.

Ahli Parlimen Umno tidak semua ikhlas menyokong Anwar kerana beberapa ahli Parlimen menjelaskan Umno pernah berjanji untuk tidak menerima Anwar dan sekutunya DAP sebagai rakan kongsi.

Pemilihan Umno tahun ini akan melihat sama ada Zahid mampu mempertahankan jawatan presidennya dan jika kalah, kerajaan Anwar mungkin berdepan masalah kerana kem anti-Zahid mungkin tidak mahu PH sebagai sekutu mereka.

Kes mahkamah Ahmad Zahid Hamidi

Presiden Umno dengan berpuluh-puluh kes mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri beberapa hari selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Pada September Zahid dibebaskan daripada semua 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Asing (VLN) selepas Hakim Ahmad Yazid Mustafa mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya. Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih mempunyai 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram untuk didakwa di bawah kes rasuah Yayasan Akal Budi.

Apakah yang akan berlaku kepada kes Zahid? Adakah akan ada keputusan politik yang dibuat untuk “menyelamatkan” beliau? – 1 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan