Iklan

Kos hantar anak ke sekolah makin tinggi, kata ibu bapa

Mohd Farhan Darwis2 years ago2nd Jan 2023Berita
49934474298 73801703f9 b
Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahun ini berbelanja lebih daripada bantuan RM150 yang diterima daripada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.
Iklan

BANTUAN RM150 yang disalurkan kerajaan untuk setiap murid bagi memulakan sesi baharu persekolahan masih tidak cukup untuk menampung kenaikan kos waktu ini, kata ibu bapa.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka perlu mengeluarkan belanja tinggi bagi kos pengangkutan anak ke sekolah serta keperluan seperti pakaian seragam dan alat tulis.

Ibu bapa yang masing-masing bekerja ini menjelaskan, mereka tiada pilihan selain menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk anak berulang-alik ke sekolah.

Kamarul Hisham Abu Bakar, 36, dari Shah Alam, berkata beliau perlu membelanjakan sehingga RM500 untuk dua anaknya memulakan sesi persekolahan esok.

Hampir 30% daripada perbelanjaan itu dikhaskan untuk pengangkutan kenderaan menghantar anaknya yang kini berada di Tahun 6 ke sekolah.

“Di kawasan ini kadar tambang sekitar RM140 (sebulan) untuk seorang pelajar pergi dan balik ke sekolah,” katanya.

Pekerja swasta itu berkata, seorang lagi anaknya di Tahun 2 tidak menggunakan perkhidmatan penghantaran kerana belajar di sekolah berkeperluan khas untuk kanak-kanak istimewa.

“Belanja keseluruhan untuk buka sekolah sekitar RM500 untuk dua orang (meliputi) beg, baju, seluar, kasut, alat tulis, dan baju sukan.

“Van sekolah serta kelengkapan sekolah itu menelan perbelanjaan terbesar,” katanya lagi ketika ditanya butiran untuk perbelanjaan bagi bantuan RM300 yang akan diterimanya.

Jelasnya, jumlah itu tentunya tidak mencukupi bagi ibu bapa yang perlu menampung kos penjaga anak-anak sekiranya mereka berada di pusat jagaan.

“Ada juga ibu bapa yang terpaksa hantar anak ke transit lepas sekolah disebabkan kedua-dua mereka bekerja sampai petang.

“Itu sudah menjadi kos tambahan lain pula kerana menggunakan perkhidmatan transit,” katanya.

Bantuan RM150 itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum PRU15 oleh menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz.

Jumlah tersebut, yang akan disalurkan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga itu dinaikkan dari kadar RM100 yang diberikan kepada murid pada 2022.

Ketika sidang Dewan Rakyat pada 20 Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tersebut diteruskan dan akan dibayar bermula pada bulan ini.

Bantuan awal persekolahan (BAP) itu mula diperkenalkan pada 2012 bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah sekali gus meringankan bebanan kewangan mereka bagi permulaan sesi persekolahan anak-anak.

Seorang lagi bapa, Muhammad Shafiq Hamka, 35, dari Johor Bahru pula membelanjakan sekitar RM1,000 untuk dua anaknya yang mula bersekolah hari ini.

Pekerja swasta itu berkata, beliau perlu menanggung kira-kira RM180 sebulan bagi kos pengangkutan untuk dua anaknya pulang dari sekolah setiap bulan.

“Anak saya tahun ini berada di Tahun 5 dan Tahun 1. Saya hanya menggunakan perkhidmatan bas sekolah untuk anak-anak saya pulang ke rumah, iaitu perjalanan sehala sahaja,” katanya.

Bagi Muhammad Shafiq, perbelanjaan terbesar yang perlu ditanggungnya adalah peralatan dan kelengkapan seperti uniform persekolahan anak-anaknya.

“Bantuan RM150 yang kerajaan berikan untuk murid sekolah itu saya akan gunakan untuk bayaran berkaitan persekolahan, seperti yuran atau buku sekolah anak-anak saya,” katanya lagi.

Muhammad Shafiq Hamka dari Johor Bahru membelanjakan sekitar RM1,000 untuk dua anaknya yang mula bersekolah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.

Buat ibu bapa yang mempunyai anak pertama kali melangkah ke sekolah rendah, perbelanjaan keperluan seperti pakaian seragam memerlukan kos lebih tinggi.

Mohd Firdaus Ismail, 33, berkata, beliau terpaksa berbelanja lebih kerana perlu menyediakan semua kelengkapan baharu untuk anaknya yang memasuki Tahun 1 pada sesi ini.

“Pada tahun 2023 anak sulung saya mula bersekolah Tahun 1, anggaran permulaan sekolah dalam RM1,500 sebab peralatan dan pakaian persekolahan yang memerlukan belanja yang besar.

“Disebabkan harga barang yang meningkat, peralatan persekolahan paling kurang memerlukan dua set, bayaran permulaan persekolahan pun agak mahal, seperti buku-buku dan sebagainya.”

Oleh itu, kakitangan kerajaan yang berasal dari Skudai, Johor itu melihat jumlah bantuan RM150 masih terlalu sedikit berbanding kos perbelanjaan persekolahan yang jauh lebih tinggi.

“Belum lagi termasuk belanja harian dan kenderaan pergi dan balik sekolah, disebabkan saya bekerja maka terpaksa menggunakan khidmat bas sekolah,” katanya.

Kakitangan kerajaan itu berkata beliau perlu membelanjakan sekitar RM100 bagi perkhidmatan bas menghantar dan mengambil anak perempuannya dari sekolah.

Mohd Firdaus berharap kos perbelanjaan sekolah itu dapat diturunkan lagi dengan meneliti semula yuran dan harga barangan.

“Saya merasakan kos perbelanjaan persekolahan membebankan bagi kami golongan B40. Mohon kerajaan semak semula yuran persekolahan dan kawal harga barangan persekolahan,” tambahnya.

Kos pengangkutan itu pula dijangka akan meningkat lagi seperti diumumkan Persatuan Bas Sekolah Malaysia yang membangkitkan mengenai peningkatan kos operasi.

Presidennya Amali Munif Rahmat dilapor berkata kos itu termasuk harga alat ganti, kenaikan gaji pemandu selain terpaksa bersaing dengan pengendali bas sekolah tidak berlesen, katanya.

Sementara itu, ibu bapa berpendapatan lebih tinggi pula memberitahu The Malaysian Insight, mereka merancang untuk menyalurkan bantuan RM150 itu sebagai tabungan pendidikan anak.

Shaik Amin Shaik Alauddin, 36, berkata, beliau akan menyimpan wang yang diterima anaknya dalam Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional.

“Saya belum merancang untuk menggunakan bantuan itu bagi membeli apa-apa keperluan… Mungkin saya akan masukkan ke dalam SSPN,” kata bapa kepada murid yang masuk Tahun 1 itu.

Shaik Amin Shaik Alauddin akan menyimpan wang yang diterima anaknya dalam tabung SSPN. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan sekolah dalam Kumpulan A akan memulakan sesi Penggal 3 bagi sesi 2022-2023 semalam pada 1 Januari.

Kumpulan tersebut melibatkan sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sekolah dalam kumpulan B melibatkan negeri-negeri lain akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari hingga 17 Februari. – 2 Januari, 2023.

Iklan
Iklan