Iklan

Menteri Kesihatan gesa segera ambil dos penggalak ke-2

Alfian Z.M. Tahir2 years ago2nd Jan 2023Berita
51013549868 9a32d566b0 c
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, hanya 49.8% rakyat Malaysia sudah menerima dos penggalak pertama manakala 1.9% menerima dos penggalak kedua mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.
Iklan

PENERIMA suntikan penggalak Covid-19 yang lebih daripada enam bulan dinasihatkan untuk mendapatkan dos kedua, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Kenyataan Zaliha berikutan peningkatan kes Covid-19 di China sambil menambah orang ramai tidak perlu menunggu vaksin bivalen.

“Kementerian kesihatan menggesa mereka yang menerima dos penggalak pertama lebih daripada enam bulan lalu supaya mendapatkan dos penggalak kedua dan tidak menunggu vaksin bivalen.”

“Vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan dalam mengurangkan simptom serius (Covid-19) dan kes kematian,” kata Dr Zaliha dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Zaliha, hanya 49.8% rakyat Malaysia sudah menerima dos penggalak pertama manakala 1.9% menerima dos penggalak kedua mereka.

Beliau menambah varian dan sub varian Covid-19 dari China dikesan di Malaysia.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan varian atau sub varian yang dikesan itu.

Namun sub varian Omicron, BF.7 sedang melonjakkan kes Covid-19 di China.

China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19, tetapi mencetuskan kebimbangan global dengan peningkatan mendadak jumlah jangkitan baru-baru ini.

Sabtu lalu, PAS menuntut kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China, berikutan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata Putrajaya perlu memberi perhatian yang teliti terhadap jumlah kes Covid-19 di negara yang menerima pelancong dari China.

Kementerian Kesihatan mengumumkan semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu di tengah-tengah kebimbangan mengenai lonjakan kes di China.

Jumaat lalu, Zaliha menggesa warga emas yang mempunyai komorbiditi dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 supaya datang ke mana-mana klinik kesihatan awam atau hospital mulai 9 Januari untuk menerima vaksin atau suntikan dos penggalak.

Menteri kesihatan berkata langkah itu adalah untuk menggalakkan mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk menerima suntikan atau dos penggalak.

“Suntikan jumpa terus boleh dilakukan di klinik Kementerian Kesihatan dan hospital awam berdasarkan waktu operasi premis masing-masing bermula 9 Januari 2023.

“Ia terpakai kepada mereka yang mempunyai komorbiditi termasuk pesakit penyakit kronik; warga emas berumur 60 tahun ke atas dan individu yang mengalami simptom dan komplikasi Covid-19,” kata menteri kesihatan dalam satu kenyataan. – 2 Januari, 2023.

Iklan
Iklan