Iklan

Orang Asli tidak percaya sistem sekolah kerajaan, kata aktivis

Alfian Z.M. Tahir2 years ago3rd Jan 2023Berita
50916977697 18a9b3a3ec o
Aktivis Orang Asli Dr Colin Nicholas berkata faktor buli, paksa tukar agama dan infrastruktur antara faktor masyarakat Orang Asli semakin tidak percaya dengan sistem persekolahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2023.
Iklan

KEPERCAYAAN merupakan tunjang utama kanak-kanak Orang Asli dengan ibu bapa mereka sebelum dimasukkan ke alam persekolahan, kata Dr Colin Nicholas.

Aktivis Orang Asli terkenal itu berkata demikian sebagai respons tentang kadar keciciran sekolah yang tinggi melibatkan kanak-kanak Orang Asli sejak beberapa tahun kebelakangan ini di mana ramai yang mengaitkan isu buli dan kekurangan infrastruktur.

Menurut Nicholas yang menulis beberapa buku mengenai Orang Asli dan penempatan mereka, ramai ibu bapa takut dan tidak percaya guru dan ahli lembaga sekolah.

“Ada dua isu di sini, satu yang sudah bersekolah tetapi berhenti, satu lagi tidak pernah bersekolah langsung. Isu yang selalu kita dengar ialah isu pengangkutan tetapi tidak semestinya begitu.

“Kerajaan sudah bina sekolah berasrama untuk kanak-kanak Orang Asli tetapi mereka masih berhenti daripada bersekolah. Bahkan ada yang tidak bersekolah. Ada juga sekolah yang terletak tidak jauh dari kampung mereka, sejam berjalan kaki atau 10 hingga 20 minit dengan berbasikal. Tetapi kenapa mereka masih tidak bersekolah?

“Isu di tentang kepercayaan. Ibu bapa tidak percaya sekolah malah ahli lembaga pengarah dan anak-anak Orang Asli juga tidak percayakan guru mereka. Bukannya mereka melawan pembangunan atau tidak mahu terima pendidikan, pokoknya tentang isu kepercayaan,” dedahnya.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai sepasang suami isteri Orang Asli menyedari perubahan drastik tingkah laku anak mereka sebaik pulang dari sekolah berasrama penuh.

Pelajar berusia 15 tahun dari suku Temiar di Kg Kuala Wook di Gua Musang itu dahulunya seorang yang ceria tetapi kini lebih suka bersendirian dan hilang selera makan selain kadang-kadang menangis.

Dia juga terasa berat hati untuk pulang ke asrama sebaik cuti sekolah tamat.

Ibu bapanya berkata, remaja lelaki itu sentiasa ceria ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah, terletak kira-kira 21 km dari penempatan mereka.

Aktivis Orang Asli berkata kadar keciciran sekolah yang tinggi melibatkan kanak-kanak Orang Asli sejak beberapa tahun kebelakangan dikaitkan dengan isu buli dan masalah infrastruktur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2023.

Ia kemudiannya didedahkan yang beberapa pelajar menggunakan kata-kata menghina dan mempersendakan penampilan fizikal pelajar Orang Asli itu. Walaupun dia berpakaian kemas dan memakai pakaian bersih, mereka masih menuduh Orang Asli mengotorkan sekolah.

“Ejekan selalu berlaku. Dia juga pernah kena tumbuk dan pakaiannya dicampakkan ke bawah dari tingkat atas. Dia juga dipaksa untuk cuci tandas.”

Kg Kuala Wook terletak kira-kira 52 km dari bandar Gua Musang, dengan populasi lebih 300 orang. Disebabkan kedudukannya yang jauh, kampung ini tidak kelihatan di peta Google dan hanya boleh diakses melalui udara atau melalui jalan laluan lori balak yang berlubang dan bahaya.

Menjawab laporan berita itu, Nicholas berkata buli menjadi isu yang tidak ditangani sejak sekian lama.

“Ia sudah jadi ‘biasa’ berlaku dan bukan lagi rahsia. Ini tidak pernah ditangani oleh kerajaan atau kementerian,” kata Nicholas.

Kena paksa tukar agama

Jelasnya, ramai ibu bapa berat untuk hantar anak mereka ke sekolah kerana anak mereka diajar agama Islam dan disuruh menukar agama berbanding menghormati kepercayaan mereka.

Beliau menceritakan semula kejadian yang menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli.

“Satu kejadian di mana seorang kanak-kanak Orang Asli dirogol dan kes itu ‘disenyapkan’ selepas suspek meyakinkan pihak berkuasa yang dia bayar mangsa. Tiada keadilan pernah berlaku.”

“Selain itu, kanak-kanak Orang Asli yang beragama Kristian disuruh masuk Islam. Mereka diajar tentang Islam walaupun mereka enggan ikut. Sebab itu ibu bapa Orang Asli tidak mahu hantar anak mereka ke sekolah.

“Sedangkan ada yang memutuskan untuk berhenti menghantar anak kerana tidak pernah diberi hak. Sebagai Orang Asli mereka didera. Seperti yang saya katakan tadi, kepercayaan sudah lenyap,” katanya. – 3 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan