Petani Cameron adakan kerjasama dengan pekerja asing, kata persatuan
Iklan
PENANAM sayur Cameron Highlands terpaksa mengambil pendekatan bekerjasama dengan pekerja asing dalam usaha mengurangkan kos dan memastikan ladang mereka kekal berdaya maju, kata persatuan.
Mereka berkata fenomena yang terjadi selama ini di pasar malam dan pasar lain berlaku pula di Cameron Highlands.
Perkongsian keuntungan membantu petani menangani kos buruh yang semakin meningkat, kata mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Peladang Cina Cameron Highlands Cheng Nan Hong berkata ia berlaku di ladang yang mana pemiliknya sudah tua dan menghadapi kesukaran untuk mengupah pekerja bagi mengusahakan ladang.
“Sekalipun jika kami dapat pekerja, gaji pekerja asing amat tinggi. Dulu RM1,500 tetapi sekarang disebabkan kekurangan tenaga pekerja ada yang sehingga RM2,000… Gaji saja menyumbang kira-kira 30% daripada kos,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata petani juga dalam beberapa tahun kebelakangan ini terpaksa membayar caj lebih tinggi selepas status kebanyakan plot mereka ditukar daripada permit menduduki tanah sementara (TOL) kepada pajakan tanah pertanian.
“Purata yuran tahunan kini melebihi RM4,000 setahun,” katanya.
Beliau berkata dengan kos yang semakin meningkat itu, pemilik terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos atau dalam beberapa kes terpaksa menutup perniagaan mereka.
Beliau berkata pemilik sama ada mengusahakan plot dengan warga asing atau memajakkan sebahagian ladang kepada pekerja asing.
Cheng berkata majoriti mereka yang terbabit adalah pekerja asing dari Bangladesh, manakala pekerja asing Indonesia dan Myanmar turut terbabit tetapi jumlah mereka tidak ramai.
Beliau berkata pemilik ladang tidak bimbang dengan pihak berkuasa kerana pekerja asing menubuhkan rangkaian mereka sendiri untuk mengagihkan sayur-sayuran ke kedai.
“Mereka menjual hasil mereka kepada pekerja asing yang berniaga di pinggir pasar borong lama di pasar Selayang.
“Tetapi sesetengah pemborong juga membeli daripada warga asing kerana mereka sanggup menjual murah. Namun tidak dinafikan ada unsur kualiti cuma pemborong sanggup mengambil risiko,” katanya.
Cheng berkata fenomena warga asing dan petani bergabung untuk bekerja di ladang bermula sebelum pandemik Covid-19.
“Walaupun ia baik untuk industri dan pengguna kerana bekalan sayur lebih banyak, ia pasti tidak baik untuk negara kerana mereka (warga asing) tidak perlu membayar cukai dan negara menghadapi kerugian.”
Cheng menyatakan perkembangan itu semuanya disebabkan kekurangan tenaga pekerja. – 3 Januari, 2023.
Berita penuh di sini.