Pakar kesihatan tidak heboh varian baharu Covid
Iklan
PAKAR kesihatan tidak menghebohkan keseriusan jangkitan terbaru Covid-19 di China, berkata varian baharu koronavirus itu tidak menyebabkan gejala teruk atau kematian dalam kalangan mereka yang sudah divaksin.
Profesor madya di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Dr Chee Hui Yee bagaimanapun menggalakkan orang ramai dalam kumpulan berisiko tinggi – yang mempunyai paras imuniti rendah dan terbabit dalam industri pelancongan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan – untuk mengambil dos penggalak Covid-19.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight jumlah jangkitan dalam negara mungkin melonjak menjelang musim Tahun Baharu Cina.
Dengan China sedang bersiap sedia untuk membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini walaupun gelombang koronavirus di negara itu akan membimbangkan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi mendapatkan dos penggalak sebagai langkah berjaga-jaga.
Desakan itu berasas kerana data laman web rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kadar vaksinasi bagi dos penggalak pertama setakat 1 Januari adalah 49.9%, sementara kadar untuk dos penggalak kedua hanya 1.9%.
Dr Chee berkata pengecualian dos penggalak tidak sepatutnya diberikan kepada individu yang terbabit dalam industri pelancongan.
“Setiap daripada mereka perlu mengukuhkan perlindungan diri. Bukan saja individu yang mengendalikan pelancong dari China saja.
“Pelancong dari Barat sudah lama tidak memakai pelitup muka, lebih pun langkah pencegahan penyakit berbeza bagi setiap negara.
“Perlindungan yang baik adalah pencegahan terbaik,” katanya.
Katanya, selepas tiga tahun epidemik, kebanyakan rakyat Malaysia akan mengelak kawasan berisiko tinggi dan tahu bila mereka perlu memakai pelitup muka.
Beliau percaya pengambilan vaksinasi Malaysia – ditambah dengan pengetahuan cara mengendalikan epidek dan ketersediaan ubat anti virus Paxlovid – akan mengurangkan tahap kes serius, selain imuniti asas setiap orang adalah mencukupi untuk berdepan dengan varian baharu itu.
Strain baharu, Omicron BF-7 dikesan di Malaysia sejak Ogos atau September tahun lalu.
Bekas timbalan menteri kesihatan Lee Boon Chye turut bersetuju supaya individu dalam kumpulan berisiko tinggi perlu mengambil suntikan dos penggalak.
“Mereka perlu ambil suntikan keempat jika ada masalah dengan sistem imun. Vaksinasi bertujuan melindungi mereka daripada sakit teruk, yang boleh membawa maut.
“Saya percaya masih ada kesan berterusan selepas tiga dos vaksinasi. Namun, dos keempat akan dapat mencegah pendedahan kepada jangkitan itu, tetapi ia tidak akan begitu besar perbezaannya dengan dos keempat.”
Bekas ahli Parlimen Gopeng itu berkata jika China membuka semula sempadannya sekalipun dan pelancong China berkunjung ke Malaysia, ia tidak akan membawa masalah besar kepada negara.
“Mungkin ada kebimbangan sama ada varian baharu itu akan tersebar luas sepanjang perjalanan mereka berlaku. Hakikatnya ialah virus varian baharu itu boleh muncul di mana saja,” katanya.
Lee berkata China tidak sepatutnya dipersalahkan atas kewujudan varian baharu itu.
“Banyak negara boleh cetuskan varian, termasuk Malaysia. Varian itu boleh datang dari Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Thailand dan tidak mungkin untuk kita tutup negara mengasingkan diri atau halang orang masuk ke negara kita.”
Lee berkata jika dasar pengasingan berjaya, maka perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan di Malaysia pada Mac 2020 tentu dilaksanakan semula bagi mencegah penularan virus.
“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang berlebihan pada peringkat ini.”
Bagaimanapun, Lee berkata KKM perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Berkenaan varian baharu, beliau berkata kadar vaksinasi tinggi di negara ini dan pusat rawatan kesihatan mencukupi bagi mengendalikan kes, dijangkakan kadar kematian tidak akan lebih 0.05%.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata KKM akan terus memantau situasi jangkitan di China dan akan membuat perubahan dasar bagi mengendalikan keadaan dengan lebih baik, dan ia termasuk mengetatkan pemeriksaan kesihatan bagi pengunjung dari China di semua pintu masuk negara.
Katanya, KKM bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia, China dan negara Asean berkaitan wabak itu, dan rundingan akan diadakan dari masa ke masa.
Susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di China, beberapa negara bimbang dengan dasar imigresen negara itu yang dilonggarkan. Itali, Jepun dan India mengetatkan peraturan saringan dan kemasukan untuk pengembara dari China. – 4 Januari, 2023.