Iklan

Umno tidak berhasrat halang jawatan tertinggi dipertandingkan, kata Isham Jalil

Mohd Farhan Darwis2 years ago5th Jan 2023Berita
Iklan

UMNO tidak berhasrat untuk menyekat mana-mana ahlinya daripada bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini, kata ketua penerangannya Isham Jalil.

Umno juga tidak berhasrat untuk meminda perlembagaan bagi menghalang kedudukan tertinggi parti daripada dipertandingkan, katanya.

“Setakat hari ini tiada perancangan untuk meminda perlembagaan (Umno) untuk membolehkan jawatan itu tidak dipertandingkan. Tidak ada.

“Sebab tidak ada pindaan perlembagaan ini secara teknikalnya sesiapa nak bertanding dia bertandinglah,” katanya, kepada pemberita, dalam satu program di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Isham berkata isu tiada pertandingan dimainkan puak-puak tertentu yang mahu melihat akar umbi Umno bertelagah.

“Isu ini dibawa untuk mengeruhkan keadaan di bawah, sebab Umno ini parti akar umbi, mereka tahu kalau jawatan ini kita buat begitu (tidak dipertandingkan) akar umbi akan marah.

“Umno parti demokratik, paling demokratik walaupun apa orang kata, tiada parti lain pertandingkan jawatan presiden,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak tiada ahli parti akan menawarkan diri bertanding bagi dua jawatan tersebut.

“Apabila ada pertandingan, mungkin tidak ada orang nak bertanding. Kalau tidak ada maka dua jawatan tertinggi itu tak dipertandingkan,” tambahnya.

Isham juga memberi bayangan, peralihan kuasa dalam Umno berupaya menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan yang hari ini dibentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GRS dan GPS serta beberapa parti lain seperti Warisan.

“Ia boleh berubah, apabila kepimpinan berubah, perjanjian (memorandum persefahaman) mungkin berubah, ia bergantung pada kepimpinan Umno selepas pemilihan.

“Saya rasa kalau kepimpinan bertukar dan kepimpinan baru nak 30 ahli Parlimen (BN) untuk nak sokong orang lain, mereka boleh buat.

“Kalau itu berlaku kerajaan boleh jatuh dan kita ada ketidakstabilan dalam politik Malaysia seperti sebelum ini.

“Itu tak baik untuk ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur, ia tidak baik untuk kita dan itu kebimbangan saya,” katanya, lagi.

Pada pemilihan parti 2018 jawatan presiden dimenangi Ahmad Zahid Hamidi menewaskan dua pesaing utama Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Waktu itu Ahmad Zahid mendapat 99 undi mengatasi Khairy yang mendapat 61 undi dan Tengku Razaleigh yang mendapat 30 undi.

Beberapa pihak dalam Umno sebelum ini menggesa agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan untuk memelihara kestabilan parti.

Gesaan itu dibuat ketika ada desakan dalam kalangan Umno yang mahu Zahid berundur selepas prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri memberi bayangan sedia dicabar untuk jawatan presiden Umno.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, suara perwakilan adalah kuasa mutlak bagi menentukan kepimpinan Umno sama ada mahu mengekalkan kepimpinan sedia ada atau mengangkat barisan kepimpinan baharu. – 5 Januari, 2023.

Iklan
Iklan