Pengeksport bimbang berdepan lebih banyak halangan jual durian ke China
Iklan
PEMBUKAAN semula sempadan China yang ditutup akibat Covid-19 pada Ahad ini mungkin merupakan berita baik untuk pengeksport durian Malaysia namun mereka tidak begitu gembira kerana melihat lebih banyak halangan dalam penyambungan semula eksport ke pasaran China yang menguntungkan.
Presiden Persatuan Pengeksport Durian Malaysia, Sam Tan, memberitahu The Malaysian Insight yang perkhidmatan eksport biasa mungkin boleh dimulakan dalam masa enam bulan.
Tan berkata pengeksport bimbang dengan tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa China untuk menangani lonjakan kes Covid berikutan keputusannya melonggarkan sekatan yang ketat.
Beliau berkata ahlinya menjangkakan gelombang baharu wabak itu akan tercetus semasa musim kemuncak perjalanan Tahun Baru Cina di negara itu yang mungkin memaksa pihak berkuasa mengenakan sekatan baharu yang mungkin menjejaskan rancangan eksport mereka.
Cuti Tahun Baharu Cina yang panjang di negara berkenaan dan penutupan pengangkutan barang akan menambah masalah mereka, tambah Tan.
“Terdapat risiko penghantaran durian tidak sampai tepat pada masanya.”
Beliau membayangkan buah-buahan itu boleh rosak di dalam bekas sebelum sampai kepada pengimport.
Tan berkata penutupan sempadan dan permintaan orang Cina terhadap ‘raja buah-buahan’ telah melonjakkan permintaan sebanyak 200%.
Itu katanya, mempunyai reaksi berantai dengan harga durian tempatan naik kira-kira 20%.
Beliau bagaimanapun percaya harga akan turun dalam masa seminggu atau apabila semakin hampir dengan tahun baru apabila pengangkutan barang ke China terhenti berikutan pekerja mengambil cuti perayaan yang panjang.
Eksport semakin kecil
Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub) Nicky Koh Kuan Heng, berkata langkah yang diambil oleh China untuk mengawal wabak itu sebelum ini telah memberi kesan kuat terhadap eksport durian ke negara itu.
Sebagai seorang pengeksport, Koh berkata walaupun menjangkakan lebih banyak kesukaran, beliau tetap positif dan berkata keadaan akan bertambah baik selepas 8 Januari apabila China membuka sempadannya.
Salah satu kesukaran ialah kemasukan lebih ramai pengeksport dari negara pesaing, khususnya Thailand dan Indonesia.
“Kadar eksport perlahan-lahan semakin kecil.”
Selain itu, beliau menegaskan harga durian, khususnya varieti Musang King yang popular, tidak akan kembali kepada harga antara RM100 hingga RM105 sekilogram seperti dua tahun lalu.
Koh berkata harganya hanya boleh mencecah sekitar RM40 sekilogram.
Sebab utama penurunan itu katanya, ialah terdapat lebih ramai pelabur yang menceburi perniagaan penanaman durian.
Di semenanjung, keluasan penanaman durian telah berkembang dengan pesat. Di Kelantan, dianggarkan lebih 10,000 ekar tanah digunakan untuk tanaman durian.
Koh berkata peningkatan persaingan sepatutnya menjadi perkara yang baik untuk pengguna.
“Dahulu, kos penanaman durian boleh mencecah RM15. Apabila penanam menggunakan baja, kos meningkat sehingga RM25.
“Tetapi hari ini, ladang-ladang besar tidak menitikberatkan untuk baja. Ini seterusnya akan membantu mengurangkan kos dan harga buah-buahan juga turun.
“Keadaannya begini. Apabila harga durian baik, penanam menggunakan baja supaya mendapat hasil yang baik.
“Tetapi apabila harganya jatuh, mereka akan menggunakan kurang sedikit baja.”
Koh berkata penurunan harga semasa adalah disebabkan permintaan yang lemah di dalam negara dan di negara jiran Singapura ketika pengguna membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.
“Orang ramai akan sibuk dengan persiapan anak-anak mereka bersekolah dan membeli-belah tahun baharu. Membeli barangan untuk sambutan tahun baharu, dan bukannya durian, adalah keutamaan mereka.”
Koh berkata satu pertimbangan penting ialah keadaan ekonomi umum.
“Orang ramai kini lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka tidak akan berbelanja untuk barangan yang tidak penting.”
Penurunan begitu ketara sehinggakan seseorang boleh membeli enam Musang King pada harga RM100. – 6 Januari, 2023.