Iklan

Umno tolak rayuan Tajuddin, gantung bahagian Arau

Mohd Farhan Darwis2 years ago6th Jan 2023Berita
Umno supreme council meeting 20210425 hasnoor 001 (1)
Awal Oktober lepas Umno menggantung Tajuddin selama enam tahun kerana kritikan terbuka terhadap parti dan kepimpinan, terutamanya Presiden Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2023.
Iklan

UMNO menolak rayuan bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Tajuddin Abdul Rahman terhadap keputusan parti menggantung keahliannya, kata Ketua Penerangan Hizatul Isham Abdul Jalil.

Rayuan itu ditolak oleh MKT Umno dalam mesyuarat bulanannya malam tadi di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

“Ada rayuan daripada Tajuddin untuk penggantungannya tempoh hari, tetapi rayuannya ditolak… pengantungannya berkuatkuasa hari ini,” kata Isham kepada pemberita.

Jelasnya, penggantungan Tajuddin kekal kerana bekas ahli Parlimen Pasir Salak itu melanggar disiplin parti seperti terkandung dalam Perlembagaan Umno.

Awal Oktober lepas, Umno memutuskan menggantung Tajuddin selama enam tahun, yang menurut laporan diambil tindakan kerana kritikan terbuka terhadap parti dan kepimpinan, terutamanya Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam reaksinya ketika itu Tajuddin berkata penggantungannya daripada parti bukan “hukuman mati” dan menegaskan beliau tetap setia dengan Umno.

Tajuddin kemudian tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak, yang diwakilinya sejak tiga penggal. 

Barisan Nasional sebaliknya menamakan timbalan ketua bahagian Umno Pasir Salak Khairul Azwan Harun, yang juga bekas senator.

BN tewas di kerusi itu kepada calon Perikatan Nasional (PN) Jamaluddin Yahya.

Isham juga dalam sidang medianya berkata, MKT Umno turut menggantung bahagian Arau atas alasan melanggar disiplin parti.

“Keputusan MKT gantung bahagian Arau atas sebab pelanggaran disiplin dalam Perlembagaan Umno. 

“Kita akan lantik ketua pentadbir, secepat mungkin,” kata Isham lagi.

Awal bulan lepas, Umno juga memecat tiga pemimpin bahagian termasuk bekas ketua Umno Ketereh Annuar Musa selepas didapati terlibat secara langsung atau tidak menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dua lagi yang dipecat ialah Ketua Wanita Umno Arau, Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita Umno Maran, Fatimah Kassim.

Shamsiah adalah isteri kepada bekas ketua Umno Arau Shahidan Kassim manakala Fatimah isteri kepada bekas ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib. 

Suami mereka tidak dicalon semula untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.

Shahidan dan Ismail yang kemudiannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dipecat dari Umno pada 7 November, dua hari selepas penamaan calon. 

Umno juga pada masa itu memecat bekas ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dan Azhar Ahmad kerana bertanding sebagai calon bebas. – 5 Januari, 2023.

Iklan
Iklan