Kejadian tanah runtuh di Batang Kali amat mengerikan, kata penyelamat
Iklan
APABILA Mustakim Rimon, anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, menerima panggilan telefon mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember, beliau menyangka ia adalah insiden kecil.
Mengimbas kembali kejadian lalu, Mustakim memberitahu dirinya tanah runtuh tidak mungkin begitu serius.
Bagaimanapun, anggota bomba berpengalaman itu terkejut apabila diberitahu jumlah mangsa hampir 100 orang.
“Saya memijak pedal minyak sekuat mungkin yang saya boleh untuk sampai ke tapak kejadian,” kata Mustakim yang berusia 40 tahun kepada The Malaysian Insight.
Sebaik tiba, Mustakim melihat sepasukan anggota pertama dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru bersama beberapa anggota polis. Kawasan itu gelap gelita kerana ketika itu waktu hampir pukul 3 pagi. Pasukan penyelamat hanya bergantung kepada lampu suluh mereka.
Mustakim berkata beliau terpaksa berjalan kaki kira-kira 400 meter untuk sampai ke tapak perkhemahan yang dilanda tanah runtuh dan sebaik sampai di sektor pertama, beliau melihat sekumpulan mangsa yang terselamat.
“Saya juga melihat mereka membawa keluar dua mayat dari sebuah kereta, seorang ibu dan anaknya, dan ketika saya berjalan lebih jauh di lereng bukit, seorang mangsa meminta tolong kerana sedang tertimbus separuh badan,” kata Mustakim.
Mustakim tidak menyedari kesan musibah itu sehingga matahari terbit pada waktu subuh. Anggota bomba itu terkejut melihat keadaan tanah runtuh dan kerosakan dialami di tapak perkhemahan.
“Ini mungkin antara tanah runtuh paling teruk pernah saya saksikan. Dalam sektor C, tanah sedalam 15 kaki.
“Suasana itu menakutkan. Pada hari pertama itu kami berjaya membawa keluar 16 mayat.
“Sebagai pegawai kanan, saya mengarahkan anak buah untuk turut mencari laluan menyelamatkan diri untuk anggota dan laluan selamat untuk mangsa terselamat berjalan. Ini sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh kedua,” katanya.
Dalam tempoh 24 jam pertama, anggota penyelamat berjaya mengeluarkan 21 mayat daripada tragedi itu diikuti tiga lagi pada hari berikutnya.
Bagi Mustakim, saat penyelamat menemui mayat seorang wanita yang memeluk anak perempuannya di dalam lumpur adalah paling tragis semasa misi itu.
“Pelukan itu sangat erat dan anda boleh lihat mereka tidak mahu melepaskan satu sama lain. Mereka tidak mahu berpisah. Ia sangat mengharukan,” katanya.
Hilang semangat
Mustakim berkata ramai anggota penyelamat termasuk daripada agensi berbeza menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca buruk beberapa hari selepas kejadian.
Hujan menyukarkan misi mencari dan menyelamat kerana tanahnya lembut, menyukarkan petugas mengalihkan tanah.
Beliau berkata ramai anak buahnya hilang semangat pada hari ketiga dan keempat kerana tiada mayat mahupun mangsa terselamat ditemui.
“Semua sudah letih dan lemah semangat kerana tidak dapat menemui mayat selama dua hari berturut-turut.
“Kawasan itu menjadi berlumpur akibat hujan. Tanah menjadi berat dan kami membawa masuk jentera berat untuk membantu misi menyelamat tetapi terpaksa lebih berhati-hati.
“Berdasarkan maklumat yang kami kumpul daripada mangsa terselamat, kami secara perlahan-lahan menggali kawasan yang kami rasa mungkin ada mayat. Pada hari kelima kami menemui mayat, seorang lelaki tua bersama anjingnya.
“Keesokan harinya satu lagi mayat ditemui dan kami mula percaya semula kami boleh menyempurnakan misi ini,” kata Mustakim.
Mustakim menghabiskan sembilan hari di tempat kejadian, pulang ke rumah hanya untuk mengambil set pakaian baharu sebelum meneruskan pencarian.
Pada hari ketujuh, anggota penyelamat menemui empat mayat selepas pasukan itu mengesan sebuah khemah bersama barangan peribadi lain melalui kerja menggali sebelum anjing pengesan K9 dihantar untuk mencari mangsa di khemah yang sama.
Dengan penemuan empat mangsa pada hari ketujuh, pasukan penyelamat bertekad untuk mencari satu mayat terakhir dari tapak perkhemahan.
Tetapi misi itu tidak mudah kerana mencari mangsa terakhir - seorang budak lelaki berusia 11 tahun - adalah satu tugas yang sukar.
“Kami cuba mencari di mana mayat terakhir ini mungkin berada. Seorang anggota kanan saya, Juyana Musa, yang mempunyai pengalaman 28 tahun dalam misi mencari dan menyelamat, mengkaji kawasan tanah tidak jauh dari tempat dua mayat yang ditemui terdahulu di sektor A.
“Ketika mencari di kawasan itu, beliau menemui cecair hitam keluar dari lumpur tetapi tiada bau busuk menunjukkan mayat. Tetapi kami menggali kawasan itu perlahan-lahan dan selepas menggali sedalam kira-kira 1.5 meter, mereka menemui beg tidur dengan mayat dalamnya.
“Budak lelaki itu ditemui di dalam beg tidurnya dan mayatnya mula reput. Kami semua berasa lega kerana berjaya mengesan semua mayat daripada misi ini tetapi pada masa sama, kami berasa amat kasihan dengan ahli keluarga,” kata Mustakim. – 6 Januari, 2023.
Berita penuh di sini