Harga di kantin sekolah naik, kualiti dan kuantiti tak seberapa, kata ibu bapa
Iklan
PARA ibu bapa geram dengan kenaikan harga makanan di kantin sekolah, berkata kualiti dan kuantiti tidak seberapa apabila tahun persekolahan bermula minggu ini.
Beberapa ibu bapa mengadu wang kantin untuk anak mereka kini meningkat dua kali ganda sejak kenaikan harga.
Semalam dilaporkan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus sejak permulaan sesi persekolahan baharu minggu ini berikutan harga bahan mentah yang semakin mahal.
Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia berkata kekurangan bekalan bahan mentah seperti telur, gula dan minyak masak telah menjejaskan operasi kantin.
Presidennya Khairuddin Hamzah yang mengusahakan kantin sekolah di Semenyih berkata antara menu yang mengalami kenaikan harga antaranya roti canai, ayam goreng dan nasi lemak.
Katanya roti canai dijual pada harga RM1.50 berbanding RM1 tahun lepas, dan ayam goreng kini RM1.50 manakala nasi lemak RM2, meningkat 50 sen.
Sekumpulan ibu bapa dari Setia Alam di Selangor memberitahu The Malaysian Insight harga makanan di sekolah telah meningkat dengan ketara tetapi jumlah bahagian sedikit.
“Saya kasihan dengan ibu bapa yang ada anak lebih daripada seorang. Mereka terpaksa bayar lebih, sekurang-kurangnya RM15 sehari untuk tiga anak. Akhirnya anak-anak tidak kenyang.
“Kualiti dan kuantiti juga kurang,” kata ibu bapa yang cuma mahu dikenali sebagai Ira.
Nisha sebaliknya berkata ibu bapa tidak ada pilihan selain memberikan wang lebih kepada anak-anak mereka.
“Kalau kita tak bagi duit poket, apa yang mereka makan di sekolah? Untuk dapatkan sepinggan nasi dengan ayam sudah RM3. Kalau saya bagi anak perempuan saya RM3 sehari, apa yang dia boleh makan atau minum di sekolah.”
Nisha berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu daripada anak perempuannya yang kantin sekolahnya mengenakan caj 50 sen jika pelajar mahukan sup tambahan untuk nasi mereka.
“Tak masuk akal. Sebelum ini, anda boleh beli sepinggan nasi dengan sup dengan harga RM1. RM2 jika anda mahu seketul ayam tetapi tambahan 50 sen hari ini untuk semangkuk sup adalah terlalu keterlaluan,” katanya.
Naikkan harga sekali dengan kualiti
Yana, ibu kepada seorang anak berkata beliau bersetuju kantin tidak ada pilihan selain menaikkan harga makanan, namun pengusaha juga perlu mempertimbangkan untuk menambah bahagian dan menambah baik kualiti.
“Saya tahu harga bahan mentah semakin mahal di pasaran tetapi jika anda naikkan harga, pastikan anda sedapkan juga makanan dan beri bahagian yang lebih banyak.
“Anda tidak boleh naikkan harga tetapi kualiti tetap sama,” katanya.
Perlu pelan jangka panjang selesaikan kenaikan harga
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN) melahirkan rasa kesal terhadap perkara itu.
Presidennya Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata walaupun beliau faham punca di sebalik kenaikan harga makanan, namun lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk selesaikan isu tersebut.
Beliau berkata agensi kerajaan yang berkaitan kini perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian jangka panjang.
“Saya kasihan dengan ibu bapa, saya boleh faham perasaan mereka. Sebaliknya, saya faham pengusaha tiada pilihan selain menaikkan harga kerana harga barang di pasaran sekarang mahal tetapi pada saya, ia tidak betul jika anda naikkan harga tetapi bahagiannya kecil atau tidak berkualiti.
“Agensi kerajaan dan kementerian mesti berganding bahu selesaikan perkara ini. Jangan biarkan harga naik tanpa dipantau. Mungkin kerajaan boleh buat rancangan untuk tetapkan harga siling untuk makanan dan minuman di kantin ssekolah seluruh negara.
“Tetapkan piawaian makanan dan minuman di sekolah supaya tidak boleh terlalu kecil dan tidak sihat,” katanya.
Ali berkata Putrajaya juga perlu memperluaskan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada lebih banyak keluarga.
Beliau berkata kerajaan juga boleh memperluaskan program RMT kepada bukan sahaja keluarga miskin tetapi juga kepada keluarga B40.
Beliau turut mencadangkan syarikat swasta menyediakan lebih banyak khidmat masyarakat bagi membantu sekolah melalui program anak angkat.
“RMT sepatutnya diberikan kepada mereka yang bukan sahaja miskin tetapi mereka yang susah. Boleh jadi B40 atau M30 yang mempunyai lebih dua anak bersekolah.
“Program makanan RMT juga harus sihat dan berkualiti. Syarikat swasta boleh masuk membantu membiayai sekolah dari segi penyediaan makanan sihat.
“Mereka juga boleh mengambil pelajar angkat dalam program khas yang boleh memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang,” tambah Ali. – 7 Januari, 2023.