Iklan

Wajar cabar Zahid? Akar umbi teragak-agak

Mohd Farhan Darwis2 years ago10th Jan 2023Berita
Ahmad zahid hamidi umno agm 2019 20191206 afif 30
Ada yang berpendapat walaupun Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kelebihan, pertandingan jawatan presiden Umno berisiko jejas kestabilan parti dan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2023.
Iklan

AHLI akar umbi Umno berbelah bahagi sama ada jawatan presiden Umno yang kini disandang Ahmad Zahid Hamidi harus dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Ada yang melihatnya satu kelebihan kepada Zahid yang sudahpun menyatakan kesediaan dicabar kerana akan membuktikan kemampuannya mengekalkan kawalan ke atas parti Melayu itu.

Medan pemilihan parti juga akan membolehkan ahli Umno melihat watak yang mahu menentang ahli Parlimen Bagan Datuk itu menonjolkan diri mereka secara terbuka, kata ahli ini.

Sebahagian lagi bimbang pertandingan jawatan menjejaskan kestabilan kerajaan.

Apa pun, parti harus mengambil pendirian terbuka membenarkan Zahid dicabar, kata seorang pemimpin cawangan di bahagian itu, Nur Izzat Nabil Bakari, 29,

Ahli jawatankuasa sayap Pemuda Umno cawangan itu berkata beliau yakin Zahid mampu mengekalkan kedudukan tersebut seperti dalam pemilihan Umno pada 2018.

Beliau melihat Zahid mempunyai kelebihan sebagai penyelamat Umno kerana mampu menyelamatkan parti daripada terus merosot selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jawatan presiden itu harus dipertandingkan. Kita jangan sekat suara ahli, kita nak hak bersuara untuk dengar pendapat agar kita boleh bergerak lebih maju kalau kita mendengar dan menerima pendapat ahli.

“Kami rasa Zahid boleh menang jawatan presiden kerana dia dah selamatkan Umno daripada dikuburkan,” katanya.

Jelasnya, parti masih berjaya menyertai kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun gabungan Barisan Nasional (BN) yang ditunjang Umno hanya menang 30 kerusi.

Malah Zahid juga tetap menang dalam pemilihan 2018 selepas PRU14 apabila Umno gagal membentuk kerajaan semula.

“(Dalam pemilihan tahun 2018), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan Tengku Razaleigh Hamzah cabar jawatan presiden, kalau digabung markah mereka pun tak boleh lawan markah Zahid waktu itu.

“Kami akar umbi di Bagan Datuk akan tetap memilih presiden. Kalau tak kerana beliau Umno dah dikubur oleh Bersatu, Zahid adalah penyelamat Umno,” kata Nur Izzat.

Pemilihan Umno sesi 2018-2021, Zahid menang 93 undi menewaskan dua pencabar utama, Khairy yang mendapat 51 undi, manakala Tengku Razaleigh menang 23 undi.

Nur Izzat Nabil Bakari yakin Ahmad Zahid Hamidi mampu mengekalkan kedudukan tersebut seperti dalam pemilihan Umno pada 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Januari, 2023.

Segelintir pemimpin akar umbi Umno pula khuatir medan pemilihan itu bertukar menjadi bibit perpecahan dengan campur tangan pihak di luar parti.

Ketua Umno Cawangan Pasir Putih, Sapian Mohd Kohor, 65, bimbang Zahid kecundang jika berdepan calon yang ditaja pihak tertentu.

“Kalau ada calon yang ditaja, orang yang boleh menang pun jadi kalah,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight, di Kampung Gajah, Pasir Salak, baru-baru ini.

Oleh itu, Sapian berpandangan kedudukan Zahid sebagai presiden tidak seharusnya dibuka untuk dipertandingkan, dalam pemilihan Umno akan datang.

“Jawatan presiden buat masa ini tak payah dipertandingkan, kita takut ada calon tajaan, orang berniaga kalau tidak ada untung dia tak nak berniaga.

“(Ada pihak didakwa) nak taja. Mesti ada tujuan, ada kepentingan, mungkin ada yang mudah dibeli. Kemungkinan bukan (ditaja) orang dalam Umno tapi orang luar daripada Umno,” katanya.

Kebimbangan serupa disuarakan Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil sebelum ini yang menyebut peralihan kuasa dalam parti berupaya menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan.

Umno bagaimanapun katanya tidak berhasrat untuk meminda perlembagaan bagi menghalang kedudukan tertinggi parti itu daripada dipertandingkan dalam pemilihan.

Terdapat juga ahli yang melihat pertandingan jawatan itu tidak lebih dari perebutan dalaman untuk kuasa dan tidak akan mengubah keadaan rakyat yang bergelut dengan kesukaran kehidupan.

Seorang ahli Umno dari Pasir Salak yang hanya mahu dikenali sebagai Adi berkata keadaan bagaimanapun akan menjadi lebih buruk sekiranya Zahid tewas.

“Mereka berebut di atas sudah tentu kalau menang akan dapat jawatan. Kalau Zahid masih lagi ahli Parlimen, masih berjawatan, ada pencen, elaun.

“Tetapi nanti kalau politik kita huru-hara, apa berlaku kepada kita rakyat di bawah ini, harga barang naik, nak cari telur ayam pun sekarang susah.

“Kita pula masih lagi tak berhenti bergaduh soal politik sedangkan realitinya kehidupan rakyat tidak berubah,” katanya.

Seorang lagi ahli Umno, Kamaruzzaman Kamaruddin berpendapat, lawan Zahid akan menonjolkan diri mereka secara terbuka dalam pertandingan itu.

Dengan cara itu, lebih mudah untuk menyingkirkan golongan berkenaan, katanya yang mengaitkan kumpulan ahli Parlimen Umno yang cenderung kepada Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.

Pada PRU15, Ahmad Zahid Hamidi menang 348 majoriti dengan 16,578 undi mengekalkan kerusi Bagan Datuk, berbanding 5,073 undi diperolehinya pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Januari, 2023.

Kumpulan ahli Parlimen ini meraih jolokan sebagai kluster perdana menteri sewaktu Ismail menjadi perdana menteri kesembilan.

“Biar dia dicabar, supaya kita tahu siapa penyokong siapa tak menyokong.

“Orang yang burukkan Zahid juga senang kata geng perdana menteri sahaja yang tak suka dia sedangkan di dalam Umno secara majoriti masih sokong dia,” katanya.

Antara yang disebut-sebut sebagai ahli kumpulan tersebut bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Tajuddin Abdul Rahman, yang digantung keahlian Umno selama enam tahun.

Tajuddin juga digugurkan daripada pencalonan pada PRU15 kerana mengkritik Zahid secara terbuka.

Khairy antara pemimpin Umno yang disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi bakal mencabar Zahid, selain bekas naib presiden Hishamuddin Hussein.

Kamaruzzaman juga melihat Zahid tetap berkelebihan kerana turut berjaya mengekalkan kerusi, berbanding bekas pencabarnya Tengku Razaleigh.

“Walaupun (Zahid) menang 300 lebih undi (pada PRU15), maknanya dia memang handal, lebih baik berbanding Tengku Razaleigh, yang kalah di kawasan diwakili sejak sekian lama.”

Dalam PRU15, Zahid menang 348 majoriti dengan 16,578 undi mengekalkan kerusi Bagan Datuk, pada PRU15 lalu, berbanding 5,073 undi diperolehinya pada PRU14.

Beliau mengalahkan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-PKR) yang memperolehi 16,230 undi dan Dr Muhammad Faiz Na’aman (PN-Bersatu) dengan 8,822.

Seorang lagi calon Tawfik Tun Dr Ismail yang bertanding Bebas meraih 226 undi. – 10 Januari, 2023.
 

Iklan
Iklan