Iklan

Tempahan persembahan tarian singa Tahun Baharu Cina hampir penuh

Angie Tan2 years ago10th Jan 2023Berita
Whatsapp image 2023-01-09 at 4.22.01 pm (1)  full
Kumpulan tarian singa di Melaka, Kedah dan Kuala Lumpur berkata mereka menerima tempahan persembahan sepanjang Tahun Baharu Cina hingga pesta tanglung. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Januari, 2023.
Iklan

TAHUN Baharu Cina akan disambut dalam tempoh hanya dua minggu lagi dan kumpulan tarian singa di beberapa negeri di semenanjung melaporkan tempahan penuh untuk persembahan mereka sepanjang perayaan.

Kumpulan tarian singa di Melaka, Kedah dan Kuala Lumpur berkata mereka ditempah hingga pesta tanglung.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding sejak dua tahun lalu ketika sekatan Covid-19 menyebabkan persembahan tarian singa tidak dibenarkan.

Presiden kumpulan tarian singa Wen Wei di Melaka Steve Hau berkata permintaan untuk persembahan itu tahun ini agak memberangsangkan memandangkan ini tahun pertama masyarakat Cina akan meraikan perayaan tanpa sekatan pandemik.

“Perniagaan dan pusat beli-belah juga memanggil kami untuk membuat persembahan pada tahun ini.

“Orang ramai berharap dapat menepis nasib buruk, memulakan kehidupan baharu dengan tuah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hau berkata pelanggan tetap kumpulan itu mula membuat tempahan persembahan sejak tujuh bulan lalu iaitu Julai tahun lalu, dan tempahan semakin rancak diterima bermula November.

Katanya, 80% tempahan dibuat dalam tempoh empat bulan lalu dan persembahan mereka dijadualkan sebanyak tiga hingga empat sesi setiap hari.

Kadar bayaran persembahan juga naik pada tahun ini dengan RM399 untuk rumah persendirian, RM488 untuk perniagaan di rumah kedai, RM588 di kuil dan antara RM688 hingga RM888 bagi ibu pejabat korporat.

“Kami tidak mengambil kesempatan terhadap permintaan tinggi untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Hau berkata kenaikan kadar itu adalah kesan daripada inflasi yang menyebabkan kos makanan untuk ahli kumpulan lebih mahal, selain kos pengangkutan juga meningkat.

“Perbelanjaan untuk kumpulan ini juga tinggi, jadi kami tidak ada pilihan selain melakukan beberapa penyesuaian.

“Kami beri penjelasan kepada pelanggan supaya tidak timbul masalah dan kebimbangan mereka terhadap kadar baharu kami,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mempunyai 40 ahli dan jika kadar bayaran persembahan RM888, keuntungan mereka hanya RM200 selepas ditolak dengan perbelanjaan hari berkenaan.

Ketua kumpulan tarian singa di Sungai Petani Nick Tan berkata tempahan persembahan mereka kini mencecah 70% tetapi mereka berdepan masalah kekurangan tenaga penari.

“Tahun ini, semua orang mahukan Tahun Baharu lebih meriah, itu sebabnya tempahan persembahan tarian singa melonjak.

Tan berkata sekatan pandemik menyebabkan ramai ahli kumpulan itu terpaksa keluar.

Daripada jumlah 40 ahli, Tan berkata kini hanya tinggal kira-kira 30 dan bagi mengurangkan beban kerja, mereka terpaksa bekerjasama dengan kumpulan lain bagi memenuhi tempahan.

Hari keenam Tahun Baharu adalah hari kemuncak untuk semua kumpulan tarian.

“Ia hari paling banyak tempahan.”

Tan berkata kumpulan itu akan memulakan persembahan pada 9 pagi jika mereka mendapat tempahan penuh hari berkenaan. – 10 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan