Iklan

Penganjur mahu saman Persatuan Alumni UM kerana batalkan forum

Asila Jalil7 years ago10th Mar 2018Berita
Is the parliament or constitution  supreme 20180310 hasnoor 001
KJ John berucap ketika forum "Is the Parliament or Constitution Supreme" di Gerak Budaya, Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Mac, 2018.
Iklan

PENGANJUR forum yang dijadual berlangsung di premis Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini dimaklumkan yang tempahan premis itu telah dibatalkan.

Dr KJ John yang menganjurkan forum “Is the Parliament or Constitution Supreme?” berkata, beliau hanya meneria e-mel rasmi itu semalam daripada presiden PAUM yang mendakwa premis itu tidak menggalakkan aktiviti yang berbentuk keagamaan, politik dan perkauman.

“Ia (forum) tak ada unsur keagamaan, bukan politikal, bukan perkauman.

“Saya tak faham. Subjek itu bukan politikal, ia cuma isu perundangan. Ini adalah isu yang penting. Kita mahu didik rakyat dan kami dah bayar deposit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

John berkata, beliau telah menempah tempat itu enam bulan sebelum dijadualkan, selain sudah membayar deposit untuk sewa.

Ketika ditanya adakah pembatalan itu kerana tajuk forum tersebut, John menekankan yang tajuk itu tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang didakwa PAUM.

Tambahnya, beliau telah bertemu dengan beberapa peguam dan mungkin akan mengangkat isu ini ke mahkamah.

“Ini salah guna kuasa,” katanya.

Forum itu, bagaimanapun ditukar ke Petaling Jaya yang mana panelisnya terdiri daripada Profesor Shad Saleem Faruqi, Thulsi Manogaran, Rosli Dahlan dan juga Dr Gurdial Singh Nijar.

Peguam muda Thulsi berkata, tidak ada bahaya pun jika ada yang fikir Parlimen itu tertinggi.

“Bahayanya terletak pada jumlah kerusi yang dimenangi parti tertentu yang kemudiannya membentuk kerajaan. Saya bercakap tentang keadaan terkini Malaysia yang ianya tidak dilaksanakan dengan betul,” katanya.

Katanya, sistem pilihan raya agak cacat kerana adanya gerrymandering.

“Jika mahkamah, perundangan yang membentuk ‘tangan ketiga’ kerajaan menarik diri dan berkata yang Parlimen itu tertinggi, dengan hujah ruang demokrasi seperti kita di mana sistem pilihan rayanya cacat, maka segala usaha mempertahankan hak dan kebebasan rakyat akan ditukar,” tambahnya.

Beliau turut menekankan masalah lain terutamanya apabila undang-undang digubal dengan cepat di Parlimen sedangkan ahli Parlimen tidak ada masa yang cukup untuk menelaah undang-undang itu.

Sementara itu, Rosli Dahlan mengangkat masalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai RUU355 di mana hukuman akan dilaksanakan di seluruh negara.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencipta sejarah April tahun lepas apabila menjadi ahli Parlimen pertama dibenarkan untuk membentang RUU355 di Dewan Rakyat. – 10 Mac, 2018.

BACA SELANJUTNYA DI SINI

Iklan
Iklan