Iklan

Zahid perlu lerai kekusutan Umno, kata penganalisis

Mohd Farhan Darwis2 years ago12th Jan 2023Berita
Umno flag general assembly 71st tminazir 09  full
Pemerhati melihat Umno dalam keadaan lebih kusut ketika ini selepas kalah teruk dan menyertai kerajaan perpaduan bersama Anwar dan juga DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2023.
Iklan

UMNO perlu menggunakan peluang di perhimpunan agungnya yang bermula hari ini untuk menjawab kepada akar umbi dan merungkai kekusutan dalam parti, kata penganalisis.

Mereka berpendapat, presidennya Ahmad Zahid Hamidi antara lain perlu menerangkan rancangan menyusun semula Umno selepas pengundi Melayu menolak parti itu dalam PRU15.

Penganalisis Hisomuddin Bakar berkata timbalan perdana menteri itu juga perlu mengemukakan alasan membawa parti itu menyertai kerajaan pimpinan Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu memberitahu The Malaysian Insight, keputusan itu amat mengelirukan ahli yang sebelum ini diberitahu Umno menolak PH dan Anwar.

“Ketika (awal menghadapi PRU15) umum bertanding sendirian dan membawa mesej ‘No Anwar, No DAP, dan No Bersatu’, dan mereka tetap tewas teruk.

“Tetapi dalam keadaan sekarang mereka bersama Anwar dan DAP… Bagi saya itu mereka perlu yakinkan kepada akar umbi Umno,” katanya.

Beliau melihat Umno dalam keadaan lebih kusut waktu ini selepas kalah teruk dan menyertai kerajaan perpaduan bersama Anwar dan juga DAP.

“Sejauh mana mereka boleh hapus dogma lama yang tertanam dalam minda ahli Umno untuk menerima Anwar dan DAP. Itu mesej yang perlu dirungkai,” katanya.

Hisomuddin berkata, Ahmad Zahid harus bijak menyusun langkah untuk menghadapi pemilihan parti, yang ditangguhkan enam bulan selepas PRU15 berlangsung pada November lalu.

“Mesej pada PAU (Perhimpunan Agung Umno) kali ini adalah bagaimana pemilihan Umno boleh menyusun pucuk kepimpinan baru bagi menghadapi konflik dalaman parti.

“Krisis dalaman ini perlu diuruskan dalam keadaan mereka dah tewas tinggal 30 kerusi, dalam kerajaan perpaduan perlu yakinkan rakyat tapi mereka berantakan.

“Ini cabaran baharu perlu diberi pencerahan oleh presiden dan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno,” katanya.

Pemilihan yang ditangguhkan sehingga tempoh 19 Mei bakal menyaksikan tumpuan sama ada dua jawatan tertinggi Umno akan tetap dipertandingkan.

Ia ekoran gesaan beberapa pihak dalam Umno sebelum ini agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan untuk memelihara kestabilan parti.

Gesaan itu bagi menghadapi desakan di kalangan Umno yang mahu Ahmad Zahid berundur selepas prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Penganalisis Hisomuddin Bakar berkata Ahmad Zahid hamidi harus bijak menyusun langkah untuk menghadapi pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2023.

Selain itu, Hisomuddin juga berpandangan kumpulan penentang Ahmad Zahid akan menggunakan medan PAU untuk mengumpul sokongan mereka menjelang pemilihan akan datang.

“Oleh kerana tidak ada halangan bertanding, penentangan bermula sekarang – sama ada zahirkan secara terbuka masa PAU atau mendampingi perwakilan yang hadir (bagi) menyusun langkah menjelang pemilihan

“Ini kerana medan ini terbuka kepada semua pihak, sama ada mereka pertahan atau cabar keputusan pemimpin sedia ada.

“Kedua-dua kumpulan ini sekarang terbuka dan boleh sampaikan visi masing-masing. Ruang PAU ini medan yang sangat menarik untuk diperhatikan,” tambahnya.

Bekas calon Khairy Jamaluddin yang pernah menentang Ahmad Zahid bagi jawatan presiden sudahpun memberi bayangan akan bertanding sekali lagi.

Beliau juga memberi jaminan peralihan kuasa dalam Umno tidak akan menggugat kestabilan kerajaan perpaduan hari ini.

Kebimbangan mengenai risiko pada kestabilan kerajaan itu timbul ekoran dakwaan bahawa barisan pemimpin baharu Umno akan membawa 30 ahli Parlimen Umno dan BN menyokong pihak lain.

Ia dikaitkan dengan kecenderungan pendukung Ismail Sabri Yaakob yang lebih mesra kepada Perikatan Nasional (PN) sewaktu naib presiden Umno itu menjadi perdana menteri kesembilan.

Seorang lagi penganalisis Mazlan Ali melihat Ahmad Zahid akan cuba mendapatkan sokongan akar umbi ekoran krisis yang mengakibatkan beberapa pemimpinnya dipecat sejurus selepas PRU15.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia itu juga tidak menolak PAU akan meluluskan usul agar jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Beliau juga akan perkukuh kekuatan untuk hadapi pemilihan dan tak mustahil PAU akan putuskan tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Saya tidak jangka kumpulan penentang Ahmad Zahid akan menonjol dalam PAU kali ini,” katanya.

Sebaliknya, Mazlan berkata Ahmad Zahid akan menjadikan PAU pentas untuk dirinya mendapatkan keyakinan akar umbi berhubung tindakannya.

“Ahmad Zahid akan cuba mendapatkan keyakinan dan sokongan PAU sebab kerjasama dalam kerajaan perpaduan, apa kelebihan kepada Umno, dari segi strateginya,” kata Mazlan.

Bagi ahli Umno, Bastien Onn, PAU harus menjadi medan penerangan kepada akar umbi berkenaan kerjasama dengan PKR dan DAP yang merupakan seteru utama Umno sejak sekian lama.

“Bagaimana ke hadapan, sama ada kita perlu adakan pertandingan di semua peringkat termasuk presiden dan timbalan presiden.

“Atau sama ada perlembagaan akan dipinda untuk pertandingan bagi semua peringkat,” kata exco Pemuda Umno itu.

Katanya, perkara paling utama, ahli akar umbi mahukan kepastian berkenaan kerjasama dengan PKR dan DAP, yang merupakan seteru tradisi Umno sejak sekian lama.

“Perlu ada penerangan daripada pemimpin, soal kerjasama dengan mereka, dan juga berkenaan perlembagaan parti, sama ada akan dipinda atau tidak untuk elakkan berlaku pertandingan (presiden dan timbalan),” katanya. – 12 Januari, 2023.

Iklan
Iklan