Iklan

Lawan DAP tidak tambah sokongan Melayu kepada Umno, kata Tok Mat

Umno general assembly 110123 tmiseth 04
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata serangan berpuluh tahun kepada DAP tidak menjadikan Umno pilihan orang Melayu tetapi turut mengakibatkan kemerosotan sokongan terhadap parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Januari 2023.
Iklan

SERANGAN berpuluh tahun kepada DAP tidak menjadikan Umno pilihan orang Melayu tetapi turut mengakibatkan kemerosotan sokongan terhadap parti itu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Menteri pertahanan itu berkata pendirian itu juga tidak menjadikan komuniti bukan Melayu menyokong Umno.

“Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas jelas menampakkan di sebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat. Malah merosot.

“Kerana faktor yang mendorong orang Melayu, menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah pendirian kita terhadap DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata sokongan rakyat sama ada kelompok pengundi Melayu atau bukan Melayu hanya akan kembali apabila kerajaan yang dipimpin itu bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Biar saya tegaskan di sini juga selama berpuluh tahun kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.

“Tetapi adakah dengan pendirian sedemikian orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita dan menjadikan kita semakin kuat dan semakin berpengaruh dengan pendirian sedemikian?

“Ia bergantung kepada kemampuan kita, meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa dapat diperjuangkan dengan lebih baik dengan Umno termasuklah kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa,” katanya.

Umno juga tegasnya terus kehilangan sokongan kelompok pengundi bukan Melayu di sebalik pendirian tersebut dan dapat dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

“Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini.

“Sehingga dalam keadaan tertentu kita tewas kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka…telah lama kita abaikan, undi golongan bukan Melayu ini,” katanya.

Mohamad berkata melalui penyertaan di dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Umno harus mengambil peluang mengelakkan parti itu terus terkubur.

“Jadi kita mesti meneroka strategi lautan biru jika kita ingin berkelangsungan. Kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu adalah resipi kematian Umno.

“Maka Umno mesti meneroka potensi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Dengan pendirian yang Umno ambil dalam menyokong penubuhan kerajaan perpaduan mungkin akan membuka ruang untuk masyarakat bukan Melayu membina semula keyakinan kepada Umno bahawa Umno adalah parti yang rasional.

“Yang mengutamakan rakyat, mengutamakan perpaduan dan kepentingan nasional,” kata Mohamad lagi.

Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) hujung minggu ini sejurus selepas parti itu tewas pada PRU15. – 11 Januari 2023.

Iklan
Iklan