Iklan

Kerjasama Umno-Pakatan lebih mudah berbanding dengan Perikatan, kata Tok Mat

Umno general assembly 110123 tmiseth 05
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada mesyuarat agung tahunan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Januari 2023.
Iklan

BEKERJASAMA dengan Pakatan Harapan (PH) lebih mudah buat Umno kerana parti itu jelas dengan pendirian politik mereka, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Menteri pertahanan itu berkata Umno hanya akan menjadi pemain ketiga sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya hanya berpura-pura.

Sebaliknya Mohamad berkata PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah tidak berpura-pura dengan pendirian mereka.

“Persoalan seterusnya ialah kerjasama dengan DAP di sebalik pendirian Umno sebelum ini, pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik.

“Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan, macam kawan kita dulu, kita pun tidak perlu berpura-pura, jadi kita duduk dalam keadaan tidak berpura pura. Kita buat hal kita dia buat hal dia.

“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan berdasarkan pilihan paling sesuai untuk membolehkan kita mengurus perbezaan.

“Tetapi jika kita dengan PN kita hanyalah pemain ketiga yang berkongsi kepentingan demografi yang sama. Ini akan menyukarkan Umno, mengurus segala perbezaan di masa akan datang,” kata Mohamad.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.

Mohamad berkata keadaan pada masa hadapan lebih sukar buat Umno jika bersama PN yang mana matlamatnya adalah untuk menguburkan Umno.

“Bayangkan daripada 120 kerusi 74 kerusi kita kalah kepada PN. Bayangkan pilihan raya negeri akan datang, bayangkan macam mana kalau bersama mereka. Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, susah kita kalau terus menerus duduk bersekongkol dengan orang yang akan menikam kita bila duduk bersama,” katanya.

Umno juga katanya menjadi parti yang mewakili komuniti Melayu terbesar apabila duduk bersama di dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Yang pasti pilihan kita untuk bekerjasama dengan PH menjadikan Umno, parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat Umno lakukan jika menyertai kerajaan pimpinan PN kerana Umno berada dalam kedudukan ketiga sebagai kuasa politik Melayu dalam perikatan sedemikian,” katanya.

Keadaan itu juga katanya akan merugikan Umno sekiranya mengambil pendirian untuk bersama PN.

Mohamad bagaimanapun menegaskan Umno masih kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan tidak menyertai PH.

“Biarkan saya jelaskan dengan tegas sekali lagi di sini kita tidak menyertai PH, kita selamanya BN, tetapi kita membentuk kerajaan perpaduan dan bekerjasama mengurus negara bersama PH, GPS dan GRS.

“Ini mesti jelas dan difahami pada masa ini Umno adalah rakan sekutu, dalam kerajaan perpaduan bukan parti komponen PH,” tegas Mohamad.

Beliau turut memberi jaminan Umno berunding dan membuat keputusan dengan cermat sebelum menyertai kerajaan hari ini khususnya membabitkan perkara-perkara asas.

Ia termasuklah perkara berkaitan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu, agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara serta perkara-perkara yang menjadi asas kemajmukan negara ini.

“Semuanya jelas dalam perjanjian dan persefahaman yang kita tandatangani jadi tidak timbul soal kita berkompromi dalam perkara-perkara paling fundamental, dalam perjuangan dan ideologi kita.

“Semuanya kita uruskan secara kemas, tersurat dalam perjanjian dan dipersetujui dengan semangat yang sangat muhibbah,” katanya lagi. – 11 Januari 2023.

Iklan
Iklan