Iklan

Asyraf Wajdi tidak pertahan jawatan ketua pemuda Umno

Mohd Farhan Darwis2 years ago12th Jan 2023Berita
Umno youth 120122 tmiseth 02
Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2023.
Iklan

ASYRAF Wajdi Dusuki mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu akan datang.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu berkata keputusan itu diambil bagi menggalas tanggungjawab selepas gabungan tersebut kalah teruk dalam pilihan raya ketika itu.

“Sebenarnya memang saya boleh menyatakan saya mengambil tanggungjawab saya mohon maaf atas kekhilafan saya kegagalan saya memimpin anda semua.

“Saya dah cuba terbaik untuk memastikan kita bangkit dan saya meletak sepenuh pengorbanan jiwa raga saya kepada pemuda Umno. 

“Sebab itu saya ambil keputusan tak lagi mempertahankan jawatan selaku ketua pemuda Umno,” kata Asyraf

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan penggulungan di Perhimpunan Agung Tahunan sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Asyraf turut mengharapkan penggantinya dapat membawa sayap pemuda Umno ke peringkat lebih tinggi.

“Saya ambil tanggungjawab ini untuk pastikan bahtera kita akan kembali kuat dan dinakhodai orang baru yang boleh bawa idea segar dan baru,” kata Asyraf lagi.

Sementara itu dalam ucapan penggulungannya Naib Ketua Pemuda Shahril Sufian Hamdan turut memohon maaf kepada perwakilan kerana sayap itu gagal menarik sokongan pengundi muda untuk menyokong mereka pada PRU15.

“Kalau rasa bersalah atas kegagalan, seperti saya rasa bersalah, saya mohon maaf. Saluran lima, enam, tujuh kita kalah,” katanya merujuk saluran mengundi bagi pengundi muda.

“Kita pegang jawatan disambut sana sini seronok bila ada kegagalan minta maaf. Jadi saya minta maaf,” tambahnya.

Calon BN yang kalah di Parlimen Alor Gajah itu mengingatkan parti agar tidak dibuai keseronokan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan pimpinan PH.

Beliau yang meletak jawatan sebagai ketua penerangan Umno sejurus kekalahan parti itu menegaskan cara itu bukan kebangkitan sebenar untuk Umno.

“Kebangkitan Umno bukan melalui PH dan PN mesti melalui Umno sendiri, kita berjasama dengan kesedaran ini bukan ubat sebenar ia perancangan taktikal.

“Percayalah esok siapa kemudi parti, kapal banyak lubang kalau tak boleh betulkan keadaan, esok akan karam semua tak kiralah pasukan apa pun, perlu diingat survival parti mengatasi segalanya,” katanya lagi. – 12 Januari, 2023.

Iklan
Iklan