Iklan

Zahid maafkan pengkhianat tapi perwakilan berkira-kira

Mohd Farhan Darwis2 years ago13th Jan 2023Berita
Umno women 120123 tmiseth  011
Beberapa pemimpin Umno ditemui di perhimpunan agung parti itu berkata Umno perlu bergerak ke hadapan dan melupakan segala kepincangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2023.
Iklan

SEGELINTIR perwakilan Umno menganggap kes ahli Parlimen mereka yang menyokong pembentukan kerajaan dengan Muhyiddin Yassin sudah selesai dan tidak wajar dikenakan tindakan.

Pemimpin parti yang ditemui The Malaysian Insight di Perhimpunan Agung Umno (PAU 2022) berkata, parti perlu bergerak maju ke hadapan dan melupakan segala kepincangan itu.

Namun sesetengah lagi mahu parti terus bertegas dengan pengkhianatan tersebut agar tidak diberi tempat dalam barisan pemimpin Umno.

Ketua Pemuda Umno Labis Khairy Kamarul berkata, beliau menganggap isu itu hanya menjadi sebahagian episod sewaktu proses pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tindakan itu merujuk tingkah laku yang menyebabkan sesuatu keputusan berubah, dalam isu ini 10 SD (surat akuan bersumpah) dihantar dan ditarik balik, ia telah selesai,

“Ia tak merubah keputusan parti atau senario politik ketika itu, ia menjadi ranting atau sub perkara yang tidak berubah sebab ia sudah ditarik balik,” katanya.

Mereka ditanya mengenai isu enam ahli Parlimen parti itu yang menandatangani surat akuan berkanun menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri susulan PRU15.

Nama ahli Parlimen tersebut didedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan tertutup bersama perwakilan kelmarin.

Wakil rakyat itu antaranya terdiri dari Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohamad (Simpang Renggam), Jalaluddin Alias (Jerebu) dan juga Mohd Islam Mohd Isa (Tampin).

Dua lagi dari Umno yang diumumkan itu Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Abd Rahman Mohamad (Lipis).

Bakinya dari komponen BN terdiri dari Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), dan Arthur Joseph Kurup (Pensiangan).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah memaafkan beberapa ahli Umno yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, sehari selepas beliau umum senarai ahli Umno yang menandatangani SD sokong pengerusi PN itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2023.

Menurut Ahmad Zahid, mereka menyokong Muhyiddin sewaktu rundingan berlangsung ketika tiada parti memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ia berikutan kegagalan PN mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan selepas gabungan itu hanya menang di 73 kawasan Parlimen.

BN yang menang 30 kerusi Parlimen ada PRU15 sebaliknya memilih bekerjasama dengan PH yang menang 83 kerusi, bersama GPS, GPRS, dan Warisan.

Mereka kemudian menarik balik sokongan itu dan PH membentuk kerajaan dengan pengerusinya Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri dan BN menyertai kerajaan perpaduan.

Ahmad Zahid seterusnya semalam dilaporkan berkata, beliau sudahpun memaafkan tindakan wakil rakyat tersebut dan menganggap isu tersebut sudahpun berlalu.

Mengulas perkembangan waktu ini, Khairy berkata ia menunjukkan setiakawan dalam Umno masih utuh dan institusi parti masih terpelihara.

“Menunjukkan solidariti di dalam Umno masih kuat apabila 10 SD itu ditarik balik itu juga menunjukkan institusi parti itu masih dijaga.

“Bagi kami, daripada segi akar umbi dapat menarik nafas lega iaitu nampak pemimpin dan ahli Parlimen itu masih bersama parti, perkara juga telah selesai,” katanya.

Beliau juga berpendapat tiada keperluan untuk parti mengambil tindakan susulan terhadap ahli Parlimen terbabit.

“Tak perlu ambil tindakan, kesan daripada perkara itu tidak berlaku,” tambahnya.

Ketua Pemuda Umno Labis Khairy Kamarul menganggap isu pengkhianatan dalam parti hanya sebahagian episod sewaktu proses pembentukan kerajaan pasca PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2023.

Pandangan sama disuarakan Ketua Umno Segamat Bastien Onn yang berkata kumpulan ahli Parlimen tersebut tidak wajar dikenakan tindakan.

Jelasnya, masih ramai lagi anggota Umno masih belum dapat menerima kerjasama Umno dengan PH, yang juga tidak wajar dikenakan tindakan.

“Kalau nak ambil tindakan kepada ahli Parlimen itu wajar ambil tindakan sekali kepada akar umbi yang tidak dapat terima Pakatan Harapan sekali.

“Naluri manusia tak boleh diubah-ubah sesegera itu. Kita bermusuh 60 tahun dengan DAP dan dengan PKR hampir 24 tahun…” katanya.

Oleh itu, wajar bagi Ahmad Zahid berjiwa besar dan melupakan isu itu dan membawa Umno melangkah ke hadapan, kata Bastien.

“Presiden berjiwa besar dan sudah memaafkan, jadi sudah berlalu isu itu, tetapi terpulang, (perlu diingat) tindak tanduk pimpinan sering diperhati rakyat diluar sana,” katanya.

Seorang lagi wakil sayap Umno, Nur Zuliana Zulkeflee dari pergerakan Puteri bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight pengkhianatan tidak boleh diberikan tempat di dalam parti.

“Kami ahli ikut keputusan pihak atasan (sebarang tindakan), tetapi, mana-mana parti pun yang mana ahli yang khianat perlu dicantas.

“Kalau tidak sampai bila kita nak bangkit, kami yang setia jenuh bersetia sedangkan orang yang khianat tak setia kepada parti,” katanya.

Nur Zuliana Zulkeflee dari pergerakan Puteri Umno berkata pengkhianatan tidak boleh diberikan tempat di dalam parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2023.

Pendirian sama turut dinyatakan rakannya, Salsabila Sharif, dan menegaskan ahli biasa yang setia terkilan kerana pengkhianatan menjejaskan imej parti.

“Kita yang rasa kecewa, terkilan, walaupun kami dicerca kerana masih kekal bersama parti yang kalah.

“Tetapi mereka yang di atas yang buat perangai kami yang di bawah benar-benar ikhlas perjuangkan parti kita menjadi mangsa,” kata wakil Puteri Alor Setar itu lagi.

Para ketua sayap parti berkenaan juga menyatakan pendirian sama dalam ucapan dasar masing-masing di perhimpunan pergerakan itu hari ini

Ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dasuki berkata saki baki pengkhianat Umno yang cenderung menyokong Bersatu dan PN perlu disingkirkan sama sekali bagi mengelakkan mereka menjadi barah dalam parti.

Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan juga menganggap pengkhianat tersebut sebagai barah yang perlu dibuang. – 13 Januari, 2023.

Iklan
Iklan