Industri pelancongan sasar ketibaan pelancong China di tahap pra-pandemik
Iklan
SALAH satu sasaran industri pelancongan Malaysia tahun ini adalah untuk mencapai 60% ketibaan pelancong pra-pandemik Covid-19 dari salah satu pasaran pentingnya, China.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw berkata industri akan “sangat berpuas hati” jika ketibaan pelancong tahun ini antara 1.8 juta hingga 2.5 juta.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight lebih tiga juta pelancong China datang pada 2019.
Selepas China menarik balik sekatan perjalanan rentas sempadan pada 8 Januari, Malaysia menyaksikan lebih 4,000 pelancong dari negara itu dalam masa dua hari sahaja menyebabkan banyak keyakinan bahawa sasaran itu boleh dicapai.
“Kami tidak minta banyak. 60% kami akan sangat berpuas hati,” kata Paw sambil menambah sasaran itu sebenarnya ditetapkan tahun lepas.
Beliau berkata pandemik selama tiga tahun, yang mencetuskan sekatan perjalanan global untuk mencegah penyebaran jangkitan virus yang telah membunuh berjuta-juta orang di seluruh dunia, menjadi “malapetaka” kepada industri hartanah, perdagangan, Program Rumah Kedua (MM2H), pertukaran pelajar universiti dan pelancongan Malaysia.
“Ia amat memudaratkan sektor pelancongan.”
Paw berkata mungkin hanya tahun depan ketibaan pelancong China mencapai tahap pra-pandemik.
Beliau turut menyatakan beberapa sebab untuk perkara ini.
Pertama, katanya, penerbangan pergi dan balik ke China belum dinormalisasi.
Paw berkata oleh kerana kebanyakan syarikat penerbangan masih belum memulihkan kekerapan penerbangan, tiket penerbangan pada masa ini mahal.
Itu, katanya, adalah faktor utama yang mempengaruhi ketibaan pelancong China.
“Apabila kekerapan dipulihkan, saya percaya kita akan dapat mencapai jumlah sama seperti sebelum wabak, jika tidak lebih, tahun depan.”
Yang kedua katanya, tiada peningkatan kes Covid-19 dilaporkan di negara ini akibat daripada ketibaan warga China.
“Ini bermakna pelancong China bukan ancaman kesihatan kerana tiada peningkatan kes dilaporkan. Mereka agak selamat.
“Sudah tentu, saya tidak berani menyatakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi kita hanya perlu optimis dengan apa yang ditunjukkan oleh data semasa.”
Paw berkata sebaik sahaja dasar kemasukan pasca wabak Malaysia dimaklumkan di China, beliau optimis Tahun Baru Cina tahun depan akan menarik lebih ramai pelancong dari negara itu.
“Kita hanya perlu tunggu dan lihat.”
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China telah mengumumkan mulai 8 Januari, tiada lagi kuarantin untuk orang yang dijangkiti Covid-19, pengesanan kontak rapat atau mengehadkan bilangan penerbangan penumpang antarabangsa ke negara itu
Dalam membuka semula sempadannya dan menarik balik semua sekatan Covid, China juga tidak lagi melakukan ujian Covid ke mereka yang baharu tiba dan kuarantin juga ditamatkan.
Permulaan yang baik
Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia cawangan Johor Edwin Tay berkata ahli MCTA telah mula menerima pertanyaan mengenai pakej pelancongan Tahun Baharu daripada rakan sejawat mereka di China.
“Sama ada mereka akan datang atau tidak, kita belum tahu lagi.”
Melihat kepada pembukaan semula sempadan China dan penarikan balik semua sekatan perjalanan secara positif, Tay berkata ia baik untuk ekonomi Malaysia, khususnya pelancongan.
Pada 10 Januari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norhayati Rusli pada satu sidang media mendedahkan, daripada 4,069 pelancong China yang memasuki negara ini pada 8 dan 9 Januari, tiada seorang pun yang mempunyai atau menunjukkan gejala Covid-19.
Walaupun Tay menyifatkannya sebagai “permulaan yang baik”, dia masih tetap berhati-hati dengan apa yang boleh berlaku pada masa hadapan.
Katanya, beliau akan mengetuai delegasi ahli MCTA ke Guangzhou selepas tahun baharu untuk berdialog dengan pemain industri tempatan di sana.
Pada 4 Januari, kerajaan memutuskan untuk mengetatkan kawalan kemasukan negara dan meneliti kemasukan pelancong dari China dan Amerika Syarikat bagi mengekang penularan virus itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak kerana bimbang dengan lonjakan semula kes di China.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah untuk melindungi kesihatan rakyat.
Beliau mengakui bahawa kesihatan negara jauh lebih penting daripada ekonomi dan pelancongan.
Perdana menteri berkata di tengah-tengah kebimbangan mengenai situasi Covid-19 di China, Jabatan Imigresen akan mengendalikan lorong khas untuk pelancong dari negara itu di pintu masuk antarabangsanya. – 13 Januari, 2023.