Iklan

Pemilihan Umno: Zahid serah kepada perwakilan

Umno youth 120122 tmiseth 010
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin anggota Umno mampu menilai keupayaannya berbanding calon yang bakal menentangnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari 2023.
Iklan

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada lebih 5,000 perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2022 untuk menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti, yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

Ia susulan terdapat gesaan daripada beberapa pihak termasuk 140 daripada 191 ketua bahagian Umno yang menggesa agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

“Saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama presiden dan timbalan presiden parti.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan,” kata Zahid, berucap membuka perhimpunan agung tahunan di Kuala Lumpur, pagi ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata beliau yakin anggota parti itu mampu menilai keupayaannya berbanding calon yang bakal menentangnya untuk kedudukan tersebut.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.  

“Namun, saya yakin ahli-ahli Umno boleh menilai yang mana kaca yang mana permata, yang mana pepat di luar, rencong di dalam. 

“Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” kata Zahid lagi.

Umno bakal mengadakan pemilihan selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU15 yang berlangsung pada November lalu.

Susulan itu, dua jawatan tertinggi utama menjadi perhatian ekoran terdapat gesaan beberapa pihak dalam Umno sebelum ini agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan untuk memelihara kestabilan parti.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil sebelum ini berkata parti tidak berhasrat meminda perlembagaannya untuk menghalang dua jawatan tertinggi daripada dipertandingkan. 

Ini sekali gus membuka ruang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Gesaan agar jawatan itu tidak dipertandingkan dibuat ketika ada desakan dalam kalangan Umno yang mahu Zahid berundur selepas prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum.

Antara yang disebut bakal mencabar Zahid adalah bekas ketua Pemuda dan bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi bayangan akan menentang beliau.

Khairy memberi jaminan peralihan kuasa dalam kepimpinan Umno tidak akan menggugat kestabilan kerajaan perpaduan hari ini.

Wujud kebimbangan pertukaran pucuk pimpinan Umno akan menjejaskan kerajaan hari ini kerana dikhuatiri kepimpinan baharu akan membawa 30 ahli Parlimen Umno dan BN menyokong pihak lain sekaligus menggugat kedudukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim

Pada pemilihan 2018, Ahmad Zahid menewaskan dua pencabar utama, iaitu Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan 99 undi.

Khairy mendapat 61 undi, manakala Tengku Razaleigh menang 30 undi. – 13 Januari 2023. 

Iklan
Iklan