Iklan

Umno Pusat bersama Umno Sabah, kata Zahid

Pau 2022 jan 13, 2022 afif 02
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kepimpinan di Kuala Lumpur akan tetap bersama pimpinan dan akar umbi Umno Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 13 Januari, 2023.
Iklan

KEPIMPINAN Umno di Kuala Lumpur bersama kepimpinan parti di Sabah, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi, selepas gerakan politik yang diketuai pengerusi negeri Bung Moktar Radin untuk menyingkirkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor gagal.

Susulan penarikan balik sokongan Umno kepada Hajiji, Bung Moktar dan dua lagi wakil rakyat Umno digugurkan jawatan menteri negeri.

“Saya ingin membuat penegasan Umno Pusat akan tetap bersama-sama dengan pimpinan dan akar umbi Umno Sabah.

“Kita akan mendukung citra dan juga strategi Umno Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam rombakan Kabinet negeri minggu ini, Hajiji menggugurkan Bung Moktar daripada jawatan timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya.

Dua lagi wakil rakyat Umno iaitu Adun Sukau Jafry Ariffin dan Adun Karambunai Yakub Khan juga digugurkan. Jafry sebelum ini memegang jawatan menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Yakub sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.

“(Mereka) kehilangan jawatan tetapi jangan risau, insyaAllah, rezeki tidak pernah salah alamat,” tambah Zahid.

Lima Adun Umno Sabah bagaimanapun tidak menuruti jejak langkah Bung Moktar, yang juga Adun Lamag.

Mereka adalah Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya; Adun Sugut James Ratib; Adun Pantai Dalit Jasnih Daya; Adun Tempasuk Arsad Bistari; Adun Sindumin Yusuf Yacob.

Shahelmey kemudiannya dilantik sebagai timbalan ketua menteri menggantikan Bung Moktar. – 13 Januari, 2023.

Iklan
Iklan