Iklan

Zahid beri bayangan wakil rakyat belakangkan keputusan Umno diambil tindakan

Pau 2022 jan 13, 2022 afif 01
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2022 beri bayangan tindakan akan diambil terhadap wakil rakyat yang membelakangkan keputusan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 13 Januari, 2023.
Iklan

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan parti akan mengambil tindakan terhadap wakil rakyatnya yang membelakangkan keputusan parti, merujuk kepada perbezaan pandangan dalam kalangan Umno semasa pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum yang lepas.

Semasa menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2022 hari ini, Zahid membayangkan tindakan itu akan diambil dalam masa terdekat.

“Tunggu… InsyaAllah tidak lama, atas persetujuan perwakilan beri mandat kepada lembaga disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT)... tak lama lagi,” katanya.

Ucapan beliau ini dibuat spontan dan tidak terkandung dalam teks yang disediakan kepada media.

Zahid berkata demikian sebagai respons selepas perwakilan melaungkan “buang sajalah” ketika beliau menerangkan apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 berkaitan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Antara 10 wakil rakyat itu termasuk enam daripada Umno, termasuk Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohamad.

“Kenapa panggil kami pengkhianat?”

Hishammuddin yang juga bendahari BN dalam reaksi segera selepas ucapan presiden berkata beliau tidak jelas kenapa mereka digelar pengkhianat.

“Sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat.

“Saya cukup yakin apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang,” katanya kepada wartawan.

Ucapan Zahid mengulangi apa yang disebutnya semasa taklimat presiden secara tertutup dua hari sebelum ini, pada Rabu.

Beliau menjelaskan alasan BN menolak untuk membentuk kerajaan dengan PN selepas gabungan itu menolak titah usulan Yang di-Pertuan Agong supaya dibentuk kerajaan perpaduan.

PN juga pada masa itu “mencuri” wakil rakyat BN apabila mendapatkan akuan bersumpah daripada 10 ahli Parlimen BN, tanpa merujuk kepada parti.

“Belum pun subuh, pengkhianatan dibuat terhadap parti kita.

“Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri, sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji,” katanya.

Zahid menegaskan kerusi yang dimenangi oleh 10 ahli Parlimen BN itu bukan milik mereka tetapi milik parti.

“Kerusi yang dimenangi bukan hak peribadi, kerusi itu hak mutlak parti,” katanya.

Mengenai dakwaan Umno kononnya melanggar keputusan sendiri itu tidak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP, Zahid mempersoalkan hujah itu yang baginya berpilih-pilih.

Atas sebab itu juga, jelas Zahid, BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disertai parti lain di Sabah dan Sarawak.

“Kelompok yang bersuara ini tidak pula menyebut perhimpunan agung Umno juga membuat keputusan dan ketetapan ‘No Bersatu’‘... mereka sengaja melupakan ‘No Bersatu’,” katanya.

Dalam ucapan seterusnya, Zahid berkata beliau tidak dapat melupakan tindakan 10 ahli Parlimen tersebut walaupun sudah memaafkan mereka.

“Kini 10 orang yang sokong PN itu telah bersama kita, ahli Parlimen daripada Umno dan BN itu bersama kita kembali.

“Hakikatnya mereka bersama kita… biduk lalu kiambang bertaut, saya maafkan tetapi sukar melupakan,” kata Zahid.

Zahid sebelum ini mendedahkan nama 10 ahli Parlimen itu semasa taklimat presiden dua hari lepas.

Empat lagi ahli Parlimen Umno yang dikatakan terlibat ialah (Jelebu); Mohd Islam Mohd Isa (Tampin); Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Abd Rahman Mohamad (Lipis).

Baki empat lagi ialah dari ketiga-tiga komponen BN iaitu Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dari MCA; M Saravanan (Tapah) dari MIC dan Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dari PBRS. – 13 Januari, 2023.

Iklan
Iklan