Iklan

BN akan fail petisyen pilihan raya, kata Zambry

49936490411 1664dc6884 o
Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata gabungannya akan memfailkan petisyen untuk beberapa kawasan yang ia tewas pada PRU15 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2023.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) akan memfailkan petisyen untuk beberapa kawasan yang ia tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir.

Menteri luar negeri itu berkata, BN sudah mengenal pasti kawasan tersebut namun enggan mendedahkannya.

“Apabila kita fail (petisyen) ada asasnya, ada macam-macamlah (alasan fail petisyen), kita akan umum nanti. Kita dah kenal pasti beberapa tempat, secara tepatnya akan diumumkan nanti.

“Kita akan umum nanti, memang ada beberapa kawasan yang akan kita failkan… nanti kita umum,” kata Zambry kepada pemberita, sewaktu lawatan ke Pusat Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU), hari ini.

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga dilapor memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Beliau mendakwa kekalahannya berpunca daripada politik wang.

Pada pilihan raya itu, Tengku Razaleigh - lebih dikenali sebagai Ku Li - gagal mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ke-12.

Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional/PAS Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti tipis 163 undi. Calon PAS itu memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.

Sementara itu, Zambry berkata, tiada usul yang di bawa ke persidangan PAU menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden Umno daripada dipertandingkan.

Namun begitu, katanya, Umno tidak menghalang sekiranya perkara itu dibangkitkan perwakilan dalam ucapan perbahasan mereka.

“Dalam usul dibaca tadi tidak ada disebutkan itu…bagaimanapun mungkin diserah kepada perwakilan,” katanya. – 13 Januari, 2023.

Iklan
Iklan