Iklan

Pakatan boleh menang besar di PRN Selangor, kata Rafizi

Alfian Z.M. Tahir2 years ago14th Jan 2023Berita
Rafizi ramli pkr tmikamal 04
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yakin Pakatan Harapan boleh menang besar pada Pilihan Raya Negeri Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2023.
Iklan

PAKATAN Harapan boleh menang 47 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor sekiranya pilihan raya negeri diadakan pada Jun, kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata walaupun PAS dan Perikatan Nasional memberikan prestasi memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, bukan mudah untuk mereka merampas Selangor daripada PH.

“Biar PN menikmati tiga hingga empat bulan ini. Kita bukan hanya akan menang di Selangor tetapi menang besar jadi biarlah PAS bersuka ria sementara ini,” kata Rafizi.

Ahli Parlimen Pandan itu juga mengingatkan yang PAS dan Umno juga bergembira pada PRN lepas tetapi gagal merampas mana-mana negeri daripada PH.

Tambahnya, bagi memastikan Selangor terus berada di bawah pentadbiran PH, ada beberapa langkah perlu diikuti yang sudah dilaksanakan dengan jayanya.

“Pada 2013 dan 2018, PAS dan Umno yakin mereka boleh menang di Selangor. Pada 2008 apabila kita pertama kali menang negeri ini daripada BN, ada perhimpunan mingguan untuk melemahkan kita tetapi kita tunjukkan yang kita mampu mentadbir.

“Jadi jangan bimbang, kita akan terus mentadbir Selangor selepas ini kerana untuk kita menang, ada langkah yang perlu diikuti dan kita sudah melaksanakannya banyak kali, ia terbukti berkesan,” katanya lagi.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh enam bulan lagi.

Kerajaan negeri ditadbir PH dan PAS tidak membubarkan DUN pada November lepas ketika Malaysia mengadakan PRU15.

Menyentuh isu kerjasama dengan BN, Rafizi berkata setakat ini tiada perbincangan antara mereka tetapi tidak menolak wujudnya peluang berkerjasama.

Beliau turut menekankan yang selain mempertahankan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, PH juga berhasrat menang kerusi tradisinya di Kedah serta beberapa kerusi di Kelantan dan Terengganu.

“Setakat ini, pengundi PH memahami dan menerima mengapa kita perlu bekerjasama dengan BN, GRS, GPS dan Warisan. Disebabkan itu, kami tidak bermasalah mempertahankan 40 kerusi di Selangor sahaja kerana pengundi kita faham sebab untuk bekerjasama dengan BN pada peringkat persekutuan.

“Kami tidak membincangkan kerjasama di peringkat negeri kerana BN ada proses mereka sendiri, begitu juga kita. Tetapi saya boleh gambarkan yang akan ada kerjasama di enam pilihan raya negeri. Untuk PH, walau apa pun hasilnya, kami bersedia untuk pilihan raya negeri.

“Kami mahu mempertahankan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta menang kerusi tradisi kami di Kedah, termasuk di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya lagi. – 14 Januari, 2023.

Iklan
Iklan