Keputusan pemilihan Umno tidak jejas kerajaan perpaduan, kata Rafizi
Iklan
KEPUTUSAN pemilihan Umno tidak akan memberi kesan kepada kerajaan persekutuan kerana pemimpin parti bersetuju untuk mengekalkan kerajaan selama lima tahun, kata Rafizi Ramli.
Timbalan presiden PKR itu berkata sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, pemimpin parti telah memberikan komitmen bahawa sebarang pertukaran kepimpinan tidak memberi kesan kepada kerajaan sedia ada.
“Sebelum kita membentuk kerajaan, kita berunding dan pada prinsipnya, sebarang pertukaran kepimpinan tidak sepatutnya memberi kesan kepada kerajaan persekutuan kerana komitmen datang daripada parti politik masing-masing.
“Setiap pemimpin parti telah pun mendapat kesimpulan muktamad di peringkat parti masing-masing, menggunakan proses mereka sendiri. Umno melalui proses itu selepas mereka menyertai kerajaan perpaduan dan kami dalam PH telah mengikut proses kami sendiri.
“Jadi jika berlaku perubahan dalam kepimpinan Umno, mereka perlu melalui proses yang sama sekali lagi jika mahu mempunyai jawatan berbeza daripada kedudukan mereka sekarang.
“Saya harap apa sahaja keputusan yang dicapai dalam pemilihan Umno, ia tidak akan memberi kesan kepada kerajaan dan semangat apabila kita menandatangani perjanjian (kerajaan perpaduan).
“Setiap parti bersetuju 100% dalam satu perkara, kita perlu ada kerajaan yang stabil, kita tidak boleh tukar kerajaan setiap dua tahun. Kalau tak suka, tukar selepas lima tahun,” kata Rafizi kepada pemberita selepas konvensyen PKR di Shah Alam.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil sebelum ini berkata perjanjian kerjasama yang ditandatangani pemimpin kerajaan perpaduan adalah untuk menghalang satu lagi Langkah Sheraton.
Lima gabungan utama negara – PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) – menandatangani perjanjian untuk memastikan kestabilan politik dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyebabkan kerajaan PH tumbang.
Pada pilihan raya umum, PH memenangi 76 kerusi manakala ahli gabungannya DAP Sarawak mendapat lima kerusi dan Muda, satu, dengan jumlah keseluruhan 82.
PN dan PAS masing-masing memenangi 51 dan 22 kerusi, dengan jumlah gabungan 73. Barisan Nasional memenangi 30 kerusi.
Istana telah mengarahkan PH dan PN membentuk kerajaan perpaduan tetapi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menolak cadangan itu manakala PH yang diketuai Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan sokongan daripada BN, GRS dan GPS. – 14 Januari, 2023.