Masa depan pemberontak Umno masih belum pasti, kata penganalisis
Iklan
PEMBERONTAK Umno yang cuba menekan Ahmad Zahid Hamidi dengan mendesak dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan, mungkin berdepan masa depan kelam apabila rancangan mereka itu gagal, kata penganalisis.
Mereka berkata pemberontak seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Johari Ghani mungkin berdepan tindakan tegas kerana cuba menggoncang kedudukan kepimpinan Umno pada masa ini.
Ia susulan keputusan Umno pada Sabtu lalu untuk meluluskan usul tidak mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi itu yang mengukuhkan kedudukan Zahid sebagai presiden parti bagi satu penggal lagi, dan kemungkinan besar hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pemberontak parti mungkin sukar memperoleh pengaruh dalam politik untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun akan datang.
Sebaliknya, beliau berkata Zahid kini mungkin dapat sedikit ruang yang membolehkannya menghidupkan semula Umno selepas parti itu kalah teruk pada PRU15.
“Pemberontak parti kini tiada pilihan. Mereka pasti dikenakan tindakan disiplin. Mereka akan sukar untuk terbabit dalam politik.
“Kedudukan Zahid dalam Umno bertambah baik, beliau perlu memandu semula Umno kerana Umno kini sebahagian daripada kerajaan dan dirinya sendiri adalah timbalan perdana menteri.
“Beliau perlu cari dinamik baharu dan meneroka kemungkinan baharu,” kata Hisomuddin.
Pada perhimpunan agung Umno, Zahid menamakan beberapa pemimpin sebagai pengkhianat kerana menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15. Antara nama yang disebut ialah Hishammuddin.
Zahid juga membayangkan parti akan mengambil tindakan terhadap mereka.
Beliau turut berkata lembaga disiplin parti akan membincangkan tindakan terhadap Khairy kerana mendakwa wujud “taktik kotor” pada perhimpunan agung bagi memastikan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Reputasi tercemar
Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) sementara itu berkata Umno mungkin tidak dapat banyak perhatian pada masa akan datang jika parti terus menerus menekan pendapat yang bercanggah.
Beliau percaya Zahid akan menang jika jawatannya dibenarkan untuk dipertandingkan.
“Ia mungkin memberi Zahid sedikit ruang untuk mengukuhkan dirinya dan mengangkat Umno semula, tetapi dalam jangka panjang ia tidak bagus untuk parti. Golongan belia dan berpelajaran tidak akan mahu mendekati Umno.
“Cara Umno putuskan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu sangat tidak demokrasi. Hanya dengan menggunakan undi suara, bukan kertas undi. Golongan muda akan melihat Umno sebagai parti ketinggalan zaman dipenuhi dengan pemimpin tua.
“Umno, terutama pemimpinnya patut sedar dari 2008 mereka sudah hilang sokongan. Mereka perlu dilihat sebagai parti yang boleh dipercayai. Mereka tidak boleh teruskan sistem naungan ini,” katanya.
Pandangan sama diberikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang berkata golongan muda akan hilang kepercayaan terhadap Umno sekarang apabila ia memutuskan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.
Bekas perdana menteri itu berkata golongan muda mahukan sebuah parti yang memberikan peluang sama rata kepada semua.
“Orang muda realistik, mereka bercakap tentang hak, demokrasi dan sebagainya; sudah tentu mereka dapat lihat apa yang kita buat ini bertentangan dengan semua itu.”
Teroka laluan baharu
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bagaimanapun berkata Zahid akan beralih daripada polemik dalaman Umno dan seterusnya meneroka kemungkinan baharu bersama Pakatan Harapan (PH).
Katanya, walaupun pemberontak akan dihukum, mereka tidak akan dipecat.
“Keahlian mereka mungkin digantung kerana jika mereka dipecat, mereka akan bebas dan mungkin mencetuskan pilihan raya kecil.
“Saya fikir Zahid sekarang akan fokus kepada bagaimana menghidupkan semula Umno dengan PH sebagai rakan kerjasama baharu. Jika anda dengarn ucapannya dan ucapan timbalan presiden, adalah jelas PH pilihan lebih baik berbanding PN.
“Saya rasa perwakilan juga faham keadaan itu. Umno masih boleh bertahan dengan PH sebagai rakan kerjasama tetapi tidak bertahan jika mereka pilih PN. Ada logiknya di situ, lebih pula Umno sudah membuka pintunya untuk PN tetapi PN minta banyak syarat, dan ia berbeza denga PH,” katanya. – 17 Januari, 2023.