Iklan

Pekebun sayur persoal permohonan ambil pekerja asing lulus dalam 3 hari

Angie Tan2 years ago18th Jan 2023Berita
Vegetable farm cameron economy 140119 tmiseth 02
Kebanyakan kebun sayur terletak di kawasan yang agak sukar diakses dengan pihak berkuasa tenaga dan air negeri tidak menyediakan sebarang perkhidmatan utiliti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2023.
Iklan

MAJIKAN tidak lagi perlu patuh had kuota sebelum mengambil pekerja tidak memberi makna kepada pekebun sayur kerana mereka tidak dapat melihat bagaimana perubahan mengambil pekerja berdasarkan permintaan akan mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing.

Perubahan itu, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bermakna kelulusan bersyarat boleh diberikan dalam tempoh tiga hari.

Lim Ser Kwee, presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran memberitahu The Malaysian Insight beliau agak bingung dengan jaminan kelulusan tiga hari itu.

Pekebun sayur perlu melalui Kementerian Pertanian, Kementerian Sumber Manusia, majlis tempatan dan Kementerian Dalam Negeri untuk permohonan mereka, kata Lim.

Beliau berkata tidak nampak bagaimana kelulusan bersyarat boleh diberikan dalam tempoh tiga hari jika permohonan mereka perlu melalui semua kerenah birokrasi itu.

“Saya masih tidak pasti sama ada semua itu memudahkan proses,” tambahnya.

Namun begitu, Lim berkata beliau menjangkakan proses itu lebih cepat sedikit berbanding sebelum ini.

Beliau berkata pekebun sayur dan juga majikan dalam sektor pertanian lain memerlukan kelulusan segera untuk mengatasi masalah tenaga buruh.

Bagaimanapun kelulusan segera bukanlah satu-satunya penyelesaian kepada masalah tenaga kerja yang dihadapi mereka.

Selain meminta kelulusan lebih cepat, Lim berkata masalah paling besar dihadapi pekebun sayur, terutamanya pekebun kecil, adalah syarat yang mewajibkan mereka menyediakan tempat tinggal untuk pekerja.

“Mereka menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan undang-undang.”

Beliau menegaskan ramai daripada petani kecil ini tidak mengusahakan kebun di tanah sendiri.

“Mereka mengerjakan kebun di tanah yang disewa. Malah ada di antaranya yang berkebun di atas tanah orang lain secara haram.”

Lim juga berkata kebanyakan kebun terletak di kawasan yang agak sukar diakses dengan pihak berkuasa tenaga dan air negeri tidak menyediakan sebarang perkhidmatan utiliti.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana petani ini boleh membina asrama sedangkan tiada bekalan air dan elektrik di sana?

“Saya harap pihak berkuasa dapat bertolak-ansur dengan pekebun sayur ini. Kami tidak sabar untuk mengambil pekerja asing secara sah.

“Jika petani kecil ini tidak dapat menggaji mereka, maka ia boleh memaksa mereka menggajinya secara haram.”

Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 (Perintah 446) kerajaan berkuat kuasa awal tahun lepas.

Undang-undang itu diperkenalkan pada 1 September 2020, tetapi dalam pindaan 2021, dinyatakan semua majikan mesti mematuhi keperluan baru di mana definisi “penginapan” bermaksud “mana-mana bangunan atau struktur, kekal atau sementara, termasuk mana-mana rumah, pondok, bangsal atau kandang berbumbung yang sesuai untuk kediaman manusia”.

Bagaimanapun, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata ada kemungkinan untuk mendapat kelulusan dalam tempoh seminggu.

“Kuncinya ialah mempunyai satu set lengkap dokumentasi.”

Beliau berkata banyak PKS dan perusahaan mikro gagal kerana “terlalu banyak keperluan” daripada pelbagai pihak berkuasa.

Seperti pekebun sayur, ahli PKS juga mengadu masalah terbesar kepada operasi mereka adalah untuk memenuhi syarat penginapan.

Ding berkata persatuan sudah mencadangkan beberapa penyelesaian alternatif tetapi ia tidak diluluskan.

Satu daripada cadangan adalah menyewa rumah untuk menempatkan pekerja.

Beliau berkata kekurangan pekerja, ditambah pula dengan masalah aliran tunai menjadi punca utama pemulihan PKS yang perlahan.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim, sebaliknya berharap kerajaan menubuhkan pusat sehenti (OSC) khas untuk mengendalikan permohonan.

Katanya, ia akan menjadi sangat mudah kerana majikan boleh mendapatkan jawapan kepada pertanyaan mereka, atau mengenai garis panduan dan kriteria bagi mereka yang tidak biasa dengan proses tersebut.

Lim juga berkata industri katering menghadapi masalah kerana terdapat stigma dengan sesetengah pegawai mempunyai tanggapan industri katering perlu mengambil pekerja tempatan dan bukannya warga asing.

“Mereka tidak akan meluluskan permohonan kami.”

Lim berkata jika industri katering tidak dibenarkan mengambil pekerja asing, maka pihak berkuasa perlu menjelaskan dasar itu.

“Ia tidak perlu kabur mengenainya.”

Menggaji penduduk tempatan untuk bekerja di restoran tidak menjadi masalah, kata Lim.

Beliau berkata restoran mewah mampu menawarkan gaji agak tinggi jika dibandingkan dengan restoran mamak.

Pada 10 Januari, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismai selepas mesyuarat Kabinet berkata kerajaan akan menghapuskan prasyarat sedia ada untuk menggaji pekerja asing dan membenarkan pekerja berdasarkan permintaan dalam usaha meningkatkan ekonominya.

Saifuddin juga berkata majikan kini dibenarkan mendapatkan pekerja asing dari 15 negara di bawah program pelonggaran pekerjaan buruh asing bagi memenuhi permintaan pekerja daripada pelbagai industri. – 18 Januari, 2023.

Iklan
Iklan