Harga ubat tradisional Cina dijangka meningkat selepas Tahun Baharu Cina
Iklan
PERMINTAAN terhadap ubat tradisional Cina untuk rawatan Covid-19 dijangka akan menyebabkan kenaikan harga selepas Tahun Baru Cina, kata pakar.
Kebanyakan ubat herba Cina yang dijual di Malaysia diimport dari China.
Presiden Gabungan Persatuan Pakar Perubatan dan Pakar Akupunktur China Malaysia Dr Ng Po Kok memberitahu The Malaysian Insight penyusutan nilai ringgit menyebabkan import lebih mahal.
Beliau menafikan masalah bekalan menjadi punca kenaikan harga.
Menurutnya rantaian bekalan telah dipulihkan berikutan China menarik balik sekatan Covid-19 pada 8 Januari.
Harga ubat-ubatan tradisional itu kali terakhir dinaikkan pada bulan September.
Ng berkata lonjakan kes jangkitan baharu Covid-19 di China menyebabkan permintaan untuk herba itu meningkat.
“Saya percaya ramai orang di sana merawat Covid-19 seperti selesema biasa.”
Beliau berkata ramai orang di China menambah ubat Barat yang ditetapkan untuk jangkitan dengan ubat tradisional.
Presiden Persatuan Peniaga Perubatan China Malaysia Boon Yip Heng berkata syarikat farmaseutikal China telah meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan untuk rawatan Covid-19.
Ng berkata harga kini stabil dan dijangka tidak meningkat.
Presiden Persatuan Pengedar Ubat Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor Loh Kim Fong berkata terdapat kekurangan ubat untuk jangkitan paru-paru dan penyakit koronari.
“Bagaimanapun, setakat yang saya tahu, syarikat farmaseutikal China telah meningkatkan pengeluaran untuk menyelesaikan masalah itu.”
China membatalkan dasar sifar Covid berkuat kuasa 8 Januari, selepas tiga tahun menguatkuasakan kawalan ketat. Lonjakan kes berikutan penarikan sekatan mencetuskan permintaan untuk mendapatkan ubat selsema dan demam di negara ini.
Beberapa farmasi di Malaysia menghadapi masalah kekurangan ubat dan masalah mendapatkan semula bekalan. – 20 Januari, 2023.