Iklan

Aktivis gesa kerajaan bertindak selesaikan krisis Rohingya

Alfian Z.M. Tahir2 years ago21st Jan 2023Berita
20220523 rohingya afp
Sejak 50 hari lalu, rantau Asean menyaksikan krisis kemanusiaan yang dramatik dengan beberapa bot membawa ratusan pelarian Rohingya terkandas di laut, termasuk di perairan Malaysia. – Gambar AFP, 21 Januari, 2023.
Iklan

PUTRAJAYA perlu berhenti membisu berhubung isu Rohingya yang semakin memuncak dan mula mengambil tindakan bagi menghalang mereka melarikan diri dari Myanmar, kata aktivis.

Mereka berkata tidak banyak yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dalam menangani krisis kemanusiaan sejak berkuasa pada November 2022.

“Sejak sebulan setengah yang lalu kita melihat krisis kemanusiaan dan keselamatan manusia yang dramatik berlaku di Laut Andaman.

“Oleh itu, ia memerlukan tindak balas serantau diselaraskan yang menangani respons kemanusiaan, kebimbangan keselamatan negara, dan menangani punca utama di Myanmar, sama seperti apa dilakukan semasa krisis Laut Andaman pada 2015.

“Malangnya, kerajaan Malaysia baharu setakat ini hanya membisu mengenai krisis ini, ketika kita seharusnya memimpin dalam menyeru dan membentuk tindak balas serantau yang mendesak mengenai krisis ini,” kata aktivis Lilianne Fan kepada The Malaysian Insight.

Pengerusi Kumpulan Kerja Hak Pelarian Rohingya, Jaringan Hak Asasi Pelarian Asia Pasifik (APPRN) berkata sejak 50 hari lalu, rantau Asean menyaksikan krisis kemanusiaan yang dramatik dengan beberapa bot membawa ratusan pelarian Rohingya terkandas di laut, termasuk di perairan Malaysia.

Fan berkata corak itu dilihat akan diteruskan dengan pelarian Rohingya tidak dapat pulang dengan selamat dan bermaruah ke Myanmar dan keadaan yang semakin teruk di kem Rohingya di Bangladesh.

Pada 21 Disember, Reuters melaporkan kira-kira 20 orang maut kerana kelaparan di atas bot yang membawa etnik Rohingya yang terkandas di laut selama dua minggu di luar pantai India.

Agensi berita itu memetik dua kumpulan aktivis Rohingya Myanmar berkata bot yang membawa sekurang-kurangnya 100 orang itu terkandas di perairan Malaysia ketika anggota minoriti Islam terus melarikan diri daripada keganasan di Myanmar dan kesengsaraan di kem pelarian Bangladesh.

Setiap tahun ramai Rohingya mempertaruhkan nyawa menaiki bot yang uzur untuk ke Malaysia.

Menurut Fan, masih banyak yang boleh dilakukan oleh Malaysia dalam memimpin rantau ini untuk mencari strategi konkrit bagi menguruskan krisis Rohingya secara berperikemanusiaan dan mencegah lebih banyak penderitaan yang tidak sepatutnya.

Bantuan tidak mencukupi

Bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih baik dalam menangani krisis ini dan jika perlu, mendapatkan kepakaran luar bagi merangka pelan yang berkesan.

Beliau berkata walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan mesti memastikan pelarian yang mencari perlindungan daripada penganiayaan diberi bantuan mencukupi.

Santiago berkata dengan atau tanpa ratifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia harus melayan mana-mana individu dengan hormat dan bermaruah terutamanya mereka yang mencari perlindungan di negara lain.

“Sebagai sebuah negara yang bukan ahli konvensyen PBB 1951, kita tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana pelarian tetapi dalam kes ini, etnik Rohingya dihalau keluar dari negara mereka sendiri dan jika tidak melarikan diri, mereka mungkin dipenjarakan atau lebih teruk, dibunuh.

Mereka datang melalui pemerdagangan manusia untuk melarikan diri daripada penganiayaan.

“Dalam kes ini, ia bukan Malaysia tetapi Asean harus mengamalkan konsep yang lebih berperikemanusiaan untuk pelarian,” kata pengerusi Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) itu.

Menangani kebimbangan domestik yang pelarian mungkin merampas peluang pekerjaan di sini, Santiago menggesa kerajaan menghasilkan strategi lebih mudah bagi menangani isu itu.

“Mereka bukan berada di sini untuk merampas kerja kita dan mereka juga bukan di sini untuk mengancam kita. Jika kita boleh membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di sini, kita sepatutnya dapat menyerap pelarian juga.

“Kalau tidak ada pengalaman bekerja, mereka boleh belajar, bukan semua warga asing tahu buat kerja ketika mereka mula-mula masuk,” katanya.

Pada 2018, lebih 730,000 orang Islam Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh berikutan tindakan keras tentera di Myanmar yang menurut saksi termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol.

Kumpulan hak asasi manusia dan media mendokumentasikan pembunuhan orang awam dan pembakaran kampung. – 21 Januari, 2023.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan