Setiausaha agung Umno akan bertemu RoS
Iklan
SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan bersama peguam parti akan bertemu Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi untuk menjelaskan usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti.
Ahmad berkata beliau dan peguam akan menjelaskan bagaimana prosedur untuk mencadangkan dan membentangkan usul kontroversi itu dijalankan mengikut perlembagaan Umno selepas ia diluluskan pada perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu.
Ini selepas aduan difailkan dua ahli Umno kepada RoS semalam menyatakan pembentangan usul tidak bertanding telah melanggar Perkara 10 perlembagaan parti.
“Peraturan 2.1 Persidangan Umno menetapkan jika ada berbangkit sebarang masalah (ketika persidangan), maka Pengerusi Tetap (Badruddin Amiruldin) berkuasa membuat keputusan dan keputusannya itu adalah muktamad,” katanya memetik laporan Berita Harian.
“Sekiranya perwakilan tidak bersetuju dengan pindaan itu, perwakilan boleh bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.
“Terpenting, pucuk pangkalnya, boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus perwakilan bersetuju dengan pindaan tambahan itu dengan mengangkat tangan, menyatakan persetujuan malahan mereka berdiri.
“Namun begitu, ketika pengundian dijalankan ada beberapa puluh orang saja perwakilan yang angkat tangan / bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.
“Maka, usul pindaan itu sudah pun menjadi ketetapan PAU dan ia telah menjadi suatu perintah atau dasar parti yang perlu dituruti oleh setiap ahli Umno,” katanya.
Bagaimanapun, timbalan menteri kewangan itu enggan mengulas sama ada aduan dua ahli Umno itu kepada RoS mengikut peraturan parti.
Minggu lalu, Umno Johor dan Wilayah Persekutuan menolak usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Usul untuk mengekalkan dua jawatan teratas itu tidak dicabar oleh wakil Negeri Sembilan. – 21 Januari, 2023.