Iklan

Pengusaha restoran gesa Putrajaya naikkan had umur pekerja asing

Alfian Z.M. Tahir2 years ago22nd Jan 2023Berita
49931859221 c3fb2b90e9 c
Langkah kerajaan untuk meletakkan pusat sehenti bagi pengambilan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri bukan menjadi isu besar, kata pemilik restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2023.
Iklan

PENGUSAHA restoran menggesa kerajaan supaya meningkatkan had umur dan menambah baik proses pengambilan pekerja asing di kedai makan tempatan.

Pemilik restoran ketika ditemui The Malaysian Insight memberitahu mereka percaya kerajaan ketika ini mampu melakukan lebih baik dalam membantu mendapatkan buruh asing untuk bekerja sebagai tukang masak atau pelayan dalam tempoh pasca pandemik.

Menurut mereka, langkah kerajaan untuk meletakkan pusat sehenti (OSC) bagi pengambilan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri bukan menjadi isu besar yang sebelum ini diuruskan Kementerian Sumber Manusia oleh kerajaan terdahulu.

Disember lalu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengumumkan OSC akan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Menteri sumber manusia sebelum ini, M Saravanan, pada Jun berkata, pusat sehenti itu dipindahkan daripada KDN kepada KSM selaras dengan amalan di kebanyakan negara.

Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata kerajaan juga perlu mengkaji semula caj levi membabitkan pelanjutan tempoh pekerja asing selepas 10 tahun kerana ia masih tinggi.

“Kami percaya dengan meletakkan OSC di bawah Kementerian Dalam Negeri, proses akan lebih telus manakala menteri baharu Saifuddin Nasution Ismail berjanji akan memudahkan urusan pengambilan serta proses pulang ke kampung halaman pekerja asing tersebut.

“Saya rasa kita semua boleh bersetuju yang kita tidak lagi memerlukan orang tengah untuk proses pengambilan kerana terlalu banyak penyelewengan berlaku.

“Kebimbangan kami adalah mengenai had umur. Kami berharap kerajaan dapat meningkatkan had daripada 45 kepada 55. Pada masa ini had itu adalah untuk mereka yang berumur antara 18 tahun dan 45 tahun. Kami berharap mereka boleh mempertimbangkan untuk meningkatkannya kepada 55 tahun.

“Satu perkara lagi ialah levi RM6,000 masih merupakan jumlah yang besar bagi kebanyakan ahli kami di bawah Presma. Walaupun kerajaan sebelum ini mengurangkannya daripada RM10,000, kita berharap perkara ini dapat dipertimbangkan,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mengumumkan levi baharu sebanyak RM6,000 bagi sektor perkhidmatan dan pembinaan, pertanian (RM2,000) serta perladangan (RM2,000) bermula Mac 2019 hingga Februari 2020.

Pemilik restoran juga menggesa kerajaan supaya mengkaji semula caj levi membabitkan pelanjutan tempoh pekerja asing selepas 10 tahun kerana ia masih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2023.

Kadar lanjutan levi pekerja asing seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019 adalah untuk sektor pembuatan (RM10,000), perkhidmatan (RM10,000), pembinaan (RM10,000), pertanian (RM3,500) dan perladangan (RM3,500).

Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan meletakkan OSC di bawah Kementerian Dalam Negeri, Jawahar berkata langkah itu adalah praktikal dan proaktif.

Bangunkan aplikasi mesra pengguna

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, Krishnan Chinnachamy berkata selagi proses pengambilan dapat dipertingkatkan, organisasinya tidak mempunyai masalah dengan KDN mengambil alih OSC.

Tambahnya, kerajaan juga boleh membantu pemilik restoran yang kurang pengetahuan digital untuk mengakses portal laman web kerajaan untuk mengambil pekerja asing.

“Selagi kerajaan boleh menambah baik proses pengambilan, menjadikan ia lebih cepat dan mudah untuk kami mengambil tenaga kerja, itu sudah memadai untuk kami.

“Satu perkara lagi ialah bagi pengendali yang sukar mengakses laman web, kementerian harus berusaha dan membangunkan aplikasi yang lebih mesra pengguna bagi membolehkan mereka yang mempunyai akses terhad boleh mengambil pekerja,” katanya.

Baru-baru ini, Saifuddin Nasution berkata majikan yang memohon pekerja asing dari 15 negara akan mendapat kelulusan permohonan dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata Pelan Kelonggaran Pengambilan Pekerja Asing yang dihadkan kepada tujuh sektor dipersetujui Kabinet.

Sektor yang diluluskan ialah perindustrian, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, pembantu rumah, perlombongan dan kuari dari 15 negara – Bangladesh, Kemboja, India, Indonesia, Kazakhstan, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam.

Bagi Presiden Persatuan Chef Johor, Ang Siew Keong, dalam keadaan persekitaran semakin baik dari segi pengambilan pekerja asing, beliau berharap kerajaan dapat terus menghulurkan bantuan kepada pengusaha restoran.

Beliau juga bersetuju kerajaan perlu menambah had umur seperti yang disarankan Jawahar.

“Sekarang jauh lebih baik berbanding ketika dan sebelum pandemik. Sekarang lebih mudah untuk mengambil pekerja asing dan prosesnya lebih cepat.

“Saya harap mereka dapat terus memberikan perkhidmatan yang baik, mengurangkan birokrasi yang tidak perlu,” kata Ang. – 22 Januari, 2023.

Iklan
Iklan