Iklan

Zahid bidas kenyataan 'sedekah kepada pengundi' Hadi

Alfian Z.M. Tahir2 years ago22nd Jan 2023Berita
Zahid hamidi tmi 12
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kenyataan tidak konsisten ulama seperti Abdul Hadi Awang akan menyebabkan hilang rasa hormat di kalangan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2023.
Iklan

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya menggunakan agama mengikut kesesuaian diri sendiri dan dan partinya, kata Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Presiden dan timbalan perdana menteri Umno itu berkata kenyataan tidak konsisten ulama seperti Hadi akan menyebabkan hilang rasa hormat di kalangan rakyat.

Beliau mengulas kenyataan Hadi semalam yang PAS tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya apabila wang ditawarkan kepada pengundi di Kuala Terengganu.

“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah.

“Sebagai seorang alim ulama, dia tidak boleh memilih-milih fatwa bila dia mahu.

“Akhirnya, ulama politik tidak akan dihormati oleh orang ramai. Seorang ulama mesti menjadi ulama. Mereka tidak boleh sesuka hati menukar mana-mana fatwa,” kata Zahid pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA pagi tadi.

Semalam Hadi mempertahankan pengagihan wang tunai parti kepada pengundi semasa pilihan raya umum lalu, dengan menyatakan ia adalah sedekah, justeru tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon bertanding dan bertanding wakil rakyat mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

“Itu gerak saraf… Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” kata Hadi.

Awal hari ini, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil menyelar cubaan Hadi menghalalkan rasuah kepada pengundi.

Isham berkata sebarang tindakan memberi wang kepada pengundi bukan sedekah tetapi rasuah.

“Sedekah tidak ada balasan, ia ikhlas diberikan kepada yang memerlukan.

“Jika sesuatu urus niaga mendapat balasan, ia bukan sedekah, sebaliknya perniagaan, rasuah atau transaksi lain selain sedekah.

“Memberi wang kepada pengundi semasa pilihan raya dan membuat mereka bersumpah untuk mengundi PAS bukan sedekah, ia adalah rasuah,” tulisnya di Facebook. – 22 Januari, 2023.

Iklan
Iklan