Bekas ahli Parlimen rakam video V.K Lingam lega tinggalkan politik
Iklan
BEKAS ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo Burne kini lebih tenang selepas melalui pengalaman politik yang melelahkan.
“Tsunami politik” yang melanda negara pada 8 Mac 2008 menyaksikannya mengalahkan calon MCA Lee Hwa Beng dengan 5,000 undi.
Tiada siapa menyangka pemuda berusia 34 tahun itu akan dapat mengalahkan Adun Subang Jaya selama tiga penggal itu.
Gwo Burne mendakwa faktor yang membawa kepada kejayaannya sebelum detik bersejarah itu adalah: tindakannya secara diam-diam merakamkan video V.K. Lingam pada Disember 2001, berhubung tindakan mengatur pelantikan hakim, yang membawa kepada tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Dengan kekuatan video itu, bapanya, Loh Mui Fah, dan beliau sendiri ditawarkan kerusi oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Gwo Burne tidak berminat untuk bertanding tetapi Mui Fah memujuknya.
“Saya mahu pulang ke China kerana ayah tidak mahu melakukannya (bertanding). Saya rasa ayah ada perkara yang perlu dilakukan ketika itu. Jadi beliau yakinkan saya untuk bertanding,” kata Loh.
Beliau akhirnya berubah fikiran.
Ahli perniagaan yang juga konsultan itu berkata tarikan untuk merasai pengalaman baru mendorongnya mencuba. Beliau juga berasa terinspirasi dengan Anwar.
“Saya rasa ini masanya peluang untuk lakukan perkara yang baik dalam hidup. Bukan semua orang dapat peluang macam ini,” katanya.
Tetapi selepas memenangi kerusi itu, ia tidak mengambil masa lama untuk Gwo Burne menyedari bidang politik bukanlah mudah.
Ia juga menuntut pengorbanan kehidupan peribadinya.
Beliau berasa kehilangan segalanya - kehidupan peribadi dan rancangan jangka panjangnya tersasar.
Bukan hanya itu, “kerjaya barunya” itu sangat menuntut masa dan wang ringgit.
“Perkara seperti perniagaan saya terpaksa dilupakan, kehidupan peribadi.. pada masa itu saya ada teman wanita – saya tiada masa untuk dia dan ia memberi kesan kepada perhubungan kami. Semuanya (masa) ditumpukan untuk berkhidmat kepada orang ramai.”
Beliau akhirnya berhenti dan merasa perlu menghilangkan diri.
Apabila PRU 2013 datang, Gwo Burne berasa gembira mengundur diri dan meneruskan kehidupannya. Kerusi itu dimenangi oleh Wong Chen.
“Pada satu peringkat, saya rasa tidak mampu komited untuk lakukan ini sepanjang hidup saya. Cuba bayangkan seluruh kehidupan anda berkhidmat untuk orang lain? Oh tuhanku!”
Jika beliau tidak menceburkan diri dalam politik pada masa itu, Gwo Burne akan meneruskan minatnya dalam perniagaan dan seni seperti muzik dan lukisan.
Menoleh semula ke belakang, Gwo Burne berkata beliau mempunyai masa yang sukar sebagai ahli Parlimen. Banyak perkara tidak boleh dilakukan kerana peruntukan yang terhad. Ia juga kali pertama pembangkang merampas Selangor daripada BN.
Ia menyebabkan beliau berhabis wang ringgit.
Gwo Burne menggunakan duit sendiri untuk pengundi di kawasannya.
Sebagai Ahli Parlimen, Gwo Burne berkata beliau cuba memberi impak positif kepada mereka yang tinggal di perumahan kos rendah di kawasannya.
Beliau mengadakan kelas vokasional bagi mereka yang tinggal di flat Desa Mentari tetapi kebanyakan penghuni di sana merasakan ia tidak memberi manfaat kepada mereka kerana tidak mendapat sebarang elaun ketika menghadiri kelas.
“Saya kecewa. Kami mahukan perubahan. Mungkin mereka tidak bersedia untuk berubah. Mungkin juga mereka tidak berminat untuk berubah.
“Untuk memastikan perubahan berlaku, seseorang perlu mendapat pendidikan.” – 12 Mac, 2018.