PRN : Tiada peluang untuk Gerakan di Pulau Pinang, kata pemerhati
Iklan
SUKAR untuk Gerakan merampas Pulau Pinang daripada DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang memandangkan majoriti sokongan bukan Melayu masih kukuh untuk Pakatan Harapan di negeri itu kata penganalisis politik.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berpendapatan parti komponen Perikatan Nasional (PN) – PAS dan Bersatu mungkin boleh menembusi kerusi Melayu namun bukan bagi Gerakan di kerusi bukan Melayu.
Hujah mereka adalah kaum Cina khususnya sudah selesa dengan kerajaan pentadbiran DAP di Pulau Pinang sejak 2008 lagi.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Gerakan mungkin sukar untuk meyakinkan bukan Melayu untuk menyokong mereka walau cuba merosakkan reputasi DAP yang bekerjasama dengan Umno/Barisan Nasional selepas pilihan raya umum lalu.
Ahli akademik itu berkata rakyat terutamanya penyokong PH faham keperluan bekerjasama dengan BN itu.
“Untuk burukkan DAP yang kini sudah menjadi sebahagian kerajaan perpaduan dengan BN, Gerakan tidak akan dapat banyak tarikan. Orang Cina faham keperluan untuk bekerja dengan BN di peringkat pusat.
“Tidak mudah untuk Gerakan menang kerusi bukan Melayu,” katanya.
Namun beliau berkata PN mungkin boleh menang beberapa kerusi di kawasan Melayu terutama di tanah besar, Seberang Perai.
“Di Seberang Perai, PAS dan Bersatu boleh menang tapi Gerakan tak ada akar umbi di sana, parti itu selalunya bertanding di kawasan pulau,” katanya.
Sebelum ini dalam temubual dengan The Malaysian Insight, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata walaupun gagal menang sebarang kerusi pada PRU 2018 dan 2022 namun parti itu ada konsep, strategi dan bakat untuk menawan Pulau Pinang kembali.
Beliau percaya sudah tiba masanya untuk parti itu menjatuhkan DAP dan memerintah negeri itu kembali.
Kata Lau partinya itu perlu meyakinkan rakyat tentang kemampuan dan keupayaan mereka sebelum berdepan dengan PRN yang bakal diadakan pertengahan tahun ini.
Seorang lagi pemerhati, Dr Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia berkata Gerakan memang tiada harapan untuk menang di negeri itu.
“Cita-cita dia tinggi. Semoga impian itu berpijak pada realiti. Setahu saya lebih separuh kerusi DUN di Pulau Pinang majoritinya bukan Melayu di mana Gerakan memang tiada peluang untuk menang.
“Walau PAS menang semua majoriti kerusi Melayu, masih tidak cukup untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.
Cita-cita Lau itu juga mendapat perhatianTimbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy yang menyifatkan perkara itu tidak akan berlaku pada PRN akan datang.
“Kami bertanggungjawab untuk singkirkan penguasaan Gerakan di Pulau Pinang 15 tahun lalu.
“Melihat kepada suasana kaum dan agama, saya tertanya-tanya jika Lau berhalusinasi,” katanya dalam kenyataan.
Pulau Pinang merupalam antara enam negeri di Semenanjung yang tidak membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya serentak denganPRU15 lalu. Lima lagi negeri ialah Selangor, Negri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kesemua negeri ini perlu mengadakan pilihan raya selewatnya September ini. – 23 Januari, 2023.