Iklan

Ibu bapa dakwa sekolah di Johor tawar bengkel SPM hanya untuk pelajar Islam

Alfian Z.M. Tahir2 years ago24th Jan 2023Berita
Skolos
Ibu bapa tidak berpuas hati dengan dakwaan bengkel Sijil Pelajaran Malaysia di sebuah sekolah di Johor hanya untuk pelajar beragama Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari 2023.
Iklan

PROGRAM bengkel untuk pelajar SPM di sebuah sekolah di Johor mendapat pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan orang awam kerana didakwa hanya ditawarkan kepada pelajar Islam.

Bengkel itu diadakan di sebuah hotel di negeri ini dikatakan turut merangkumi subjek kritikal termasuk Matematik Tambahan dan Kimia.

Bagaimanapun, pelajar bukan Islam tidak dijemput menyertai bengkel itu selepas dikatakan penderma persendirian telah membayar keseluruhan penginapan dua hari satu malam itu.

“Pihak sekolah mengadakan bengkel SPM selama dua hari satu malam untuk pelajar Islam sahaja dengan mengatakan ia hanya melibatkan mata pelajaran agama.

“Namun, ia ternyata merupakan bengkel komprehensif merangkumi mata pelajaran seperti Kimia, Matematik Tambahan dan lain-lain.” kata ibu bapa menerusi Twitter.

Ciapannya itu tular di media sosial mendapat 400 retweet dan lebih 700 like dalam tempoh kurang 24 jam.

Tambahnya, apabila ibu bapa yang tidak berpuas hati meminta penjelasan daripada kumpulan WhatsApp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, pengetua sekolah menutup perbualan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberitahu sebuah portal berita bahawa terpulang kepada jabatan pendidikan Johor untuk mengambil tindakan terhadap sekolah itu.

Beliau memberitahu FMT perkara itu adalah di bawah bidang kuasa jabatan pendidikan negeri.

Sumber di Kementerian Pendidikan memberitahu The Malaysian Insight bahawa perkara itu sedang disiasat dan kenyataan akan diberikan sebaik siasatan selesai. – 24 Januari, 2023.

Iklan
Iklan