Iklan

Tiada diskriminasi dalam bengkel SPM, kata KPM

Alfian Z.M. Tahir2 years ago24th Jan 2023Berita
Sakulah
Kementerian Pendidikan menafikan sebarang unsur diskriminasi terhadap pelajar bukan Islam pada bengkel SPM yang dianjurkan sebuah sekolah di Johor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2023.
Iklan

KEMENTERIAN Pendidikan menafikan sebarang unsur diskriminasi terhadap bukan Islam pada bengkel tingkatan lima untuk pelajar di sebuah sekolah di Johor.

Dalam satu kenyataan, kementerian menjelaskan bahawa terdapat dua bengkel yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mengelak daripada mengganggu pelajar yang menyambut Tahun Baharu Cina.

“Kementerian Pendidikan Malaysia merujuk kepada satu hantaran di aplikasi Twitter berhubung penganjuran Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar akan menghadiri bengkel pada 26 dan 27 Januari.

“Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan salah satu dari pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.

“Pada 19 dan 20 Januari, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon Galus (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

“Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dan bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari bertempat di hotel yang sama.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa,” kata Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan itu, pihak kementerian akan meningkatkan prestasi komunikasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu hari ini, terdapat ibu bapa dan orang awam mendakwa bengkel berkenaan hanya ditawarkan kepada pelajar beragama Islam.

Bengkel itu diadakan di sebuah hotel di negeri ini dikatakan turut merangkumi subjek kritikal termasuk Matematik Tambahan dan Kimia.

Bagaimanapun, pelajar bukan Islam tidak dijemput menyertai bengkel itu selepas dikatakan penderma persendirian telah membayar keseluruhan penginapan dua hari satu malam itu.

“Pihak sekolah mengadakan bengkel SPM selama dua hari satu malam untuk pelajar Islam sahaja dengan mengatakan ia hanya melibatkan mata pelajaran agama.

“Namun, ia ternyata merupakan bengkel komprehensif merangkumi mata pelajaran seperti Kimia, Matematik Tambahan dan lain-lain,” kata ibu bapa menerusi Twitter.

Ciapannya itu tular di media sosial mendapat 400 retweet dan lebih 700 like dalam tempoh kurang 24 jam.

Tambahnya, apabila ibu bapa yang tidak berpuas hati meminta penjelasan daripada kumpulan WhatsApp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, pengetua sekolah menutup perbualan. – 24 Januari, 2023.

Iklan
Iklan