Bekas pengerusi Felda tandatangan pindah milik tanah Jalan Semarak
Iklan
PARLIMEN hari ini diberitahu, surat kuasa wakil penuh untuk memajukan tanah di Jalan Semarak untuk membangunkan Kuala Lumpur Vertical City ditandatangani oleh bekas pengerusi dan juga pengarah Felda terdahulu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim berkata, pendedahan maklumat itu bagaimanapun tidak bertujuan untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak.
“Kita zaman sekarang tidak boleh sembunyi-sembunyi pun, banyak benda akan terdedah. Sekarang saya jawab di Parlimen. PA tersebut ditandatangani oleh pengerusi Felda dan pengurus besar ketika itu.
“Maknanya (pendedahan) ini bukan bertujuan tentukan siapa betul, siapa salah kerana siasatan masih berlangsung,” katanya ketika menjawab soalan Fauzi Abdul Rahman (PKR – Indera Mahkota).
Kenyataan Razali hari ini turut menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada bulan lalu bahawa transaksi melibatkan tanah itu berlaku bawah kepimpinan pengerusi Felda sekarang, Shahrir Samad.
Shahrir dilantik sebagai pengerusi Felda pada Januari tahun lalu bagi menggantikan Isa Samad yang tamat tempoh perkhidmatan.
Dalam jawapannya di Dewan Rakyat hari ini, Razali menegaskan, kes tersebut masih lagi dalam siasatan audit forensik dan terdapat banyak syor serta penemuan yang didapati dalam siasatan tersebut.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, sebanyak 240 dokumen telah diambil untuk siasatan, termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah.
Minggu lalu, Felda mengesahkan telah mendapat kembali kesemua 16 lot tanah Jalan Semarak di Kuala Lumpur yang sebelum ini bertukar tangan kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
Menurut Shahrir, hak Felda untuk mendapat kembali tanah tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian baharu dengan syarikat itu pada 15 Januari lalu.
Kes berkenaan didedahkan dalam laporan Berita Harian akhir Disember lalu yang menyebut, anak syarikat Felda, FIC melantik SPSB sebagai pemaju utama projek dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu. – 12 Mac, 2018.